STML dan LKTN aktif tingkatkan inovasi berasaskan kenaf untuk teknologi hijau
Berita dan gambar oleh : Nur Azean binti Baharom
JITRA, 4 Mei 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Lembaga Kenaf & Tembakau Negara (LKTN) Jitra, Kedah telah mengadakan sesi perbincangan strategik bagi mempergiat usaha meningkatkan inovasi berasaskan kenaf dalam aplikasi teknologi hijau.
Pertemuan ini menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka potensi baharu tanaman kenaf sebagai sumber lestari dalam pembangunan produk mesra alam.

STML, UUM diketuai bersama oleh Dr. Maheera Mohamad dan Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi telah disambut oleh pasukan LKTN Jitra yang diketuai En. Padeli Mohamed, Pengurus Wilayah Utara LKTN, serta En. Wan Ahmad Akmal Faesal Ahmad Juhari, Pegawai Negeri LKTN Kedah, bersama beberapa orang staf LKTN.
Perbincangan utama memberi tumpuan kepada tiga aspek penting:
Pertama, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperluas penyelidikan bagi menghasilkan inovasi teknologi hijau berasaskan kenaf, termasuk pembangunan bahan komposit mesra alam dan produk biopemulihan.

Kedua, kerjasama dalam projek penanaman kenaf di UUM akan diperkukuh dengan sokongan teknikal daripada LKTN, terutamanya dalam aspek pengurusan tanaman, penuaian, dan pemprosesan benih berkualiti tinggi.
Ketiga, inovasi Eco-Green Biofeed untuk ternakan ruminan terus diperhalusi sebagai produk unggul yang kaya serat dan protein, selaras dengan hasrat menjana produk hijau bernilai tambah tinggi serta menyokong kelestarian industri pertanian dan penternakan negara. Pendedahan ini penting untuk memastikan projek tanaman dan inovasi teknologi hijau di UUM dapat dilaksanakan secara optimum.
Dr. Maheera Mohamad menyatakan, “Kami di STML komited untuk terus aktif bersama LKTN dalam memacu inovasi berasaskan kenaf. Sinergi ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan industri-akademia, malah mampu melahirkan produk teknologi hijau yang menyumbang kepada komuniti dan industri agro negara.”

Dr. Nur Syazwani Mohd Nawi turut menambah, “Kerjasama ini membuka ruang luas untuk penyelidikan aplikasi dalam pengurusan rantaian bekalan dan inovasi perniagaan berteraskan kelestarian. Eco-Green Biofeed hanyalah permulaan kepada lebih banyak produk hijau yang boleh dibangunkan bersama.”
En. Padeli bin Mohamed pula mengalu-alukan inisiatif berterusan ini dan berkata, “LKTN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UUM. Penerokaan inovasi teknologi hijau berasaskan kenaf adalah selaras dengan misi LKTN untuk mempelbagaikan dan meningkatkan nilai ekonomi tanaman kenaf secara mesra alam.”
Pertemuan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata serta komitmen untuk merangka pelan tindakan lebih aktif. Inisiatif ini diharap dapat melonjakkan nama UUM dan LKTN sebagai peneraju dalam agro-teknologi dan pengurusan rantaian nilai pertanian mampan di peringkat nasional, khususnya dalam bidang teknologi hijau berasaskan kenaf.



