Campus

Penyelidik SLCP perkasa komuniti bakat melalui latihan pemindahan ilmu modul asas penternakan kelulut

Gambar oleh : Syahrina Abdullah

BUKIT KAYU HITAM: Seramai 20 peserta daripada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Kem Rejimen Sempadan (RS5), Bukit Kayu Hitam, telah menyertai program pemindahan ilmu melalui Modul Asas Penternakan Kelulut yang dilaksanakan di bawah Geran Knowledge Transfer Program (KTP) Ekonomi MADANI 2026: Penternakan Kelulut.

Program berimpak tinggi ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta dilaksanakan melalui Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam memacu pembangunan komuniti secara inklusif.

Program tersebut dikendalikan oleh barisan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie, Dr. Mohamad Faizal bin Abd Matalib dan Syahrina Abdullah. Modul yang dibangunkan merangkumi pelbagai komponen penting termasuk pengenalan spesies kelulut, asas teknik penternakan, sistem pemakanan kelulut, pengurusan koloni serta potensi industri madu kelulut sebagai sumber ekonomi baharu.

Kehadiran Pengerusi BAKAT Kem RS5, Siti Nor Zemila binti Abdullah, turut menyerlahkan komitmen berterusan dalam menyokong usaha pemerkasaan komuniti setempat. Program ini dilihat sebagai platform strategik untuk membuka ruang keusahawanan khususnya kepada golongan suri rumah dalam menjana pendapatan tambahan secara lestari.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BAKAT Kem RS5, Shah Nurhidayu Shahbudin, menyatakan keterujaan terhadap kejayaan kolaborasi sulung antara BAKAT dan UUM. Menurut beliau, inisiatif ini amat signifikan dalam membantu ahli BAKAT, khususnya suri rumah sepenuh masa, untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga melalui aktiviti berimpak tinggi tetapi kos rendah seperti penternakan kelulut kerana ini adalah kolaborasi pertama antara pihak kem dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Salah seorang suami peserta, Sarjan Nizam bin Abdullah, menyifatkan program ini sebagai titik perubahan dalam perancangan masa depannya. Beliau mengakui sebelum ini hanya mengenali UUM sebagai institusi yang menumpukan bidang pengurusan, namun pendedahan yang diterima telah membuka dimensi baharu mengenai kepakaran universiti dalam bidang agro-keusahawanan. Dengan persaraan yang bakal menjelang, beliau bercadang untuk menceburi bidang penternakan kelulut sebagai sumber pendapatan alternatif.

Program ini bukan sahaja memberi pendedahan teori, malah turut menekankan elemen praktikal bagi memastikan peserta mampu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara langsung. Pendekatan ini selari dengan aspirasi program KTP dalam memperkukuh pemindahan ilmu berasaskan kepakaran universiti kepada komuniti.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperluas fungsi universiti sebagai agen transformasi masyarakat, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam pembangunan ekonomi komuniti secara mampan – Dr. Mohamad Faizal Abd. Matalib.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button