IBS-UUM Perkukuh Hubungan Strategik dengan Lima Universiti Islam di Jakarta dan Yogyakarta
Berita dan gambar oleh: Nurzulfah Afifah Mat Tamizi
Jakarta & Yogyakarta, Indonesia, 28 April – 1 Mei 2026: Penyertaan Prof. Dr. Selamah Maamor, Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan merangkap Dekan Pusat Pengajian Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), dalam Persidangan Meja Bulat Majlis Dekan Pusat Pengajian Islam (MDPI) serta lawatan akademik ke lima universiti Islam terkemuka di Jakarta dan Yogyakarta telah membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

Menurut Prof. Dr. Selamah Maamor, lawatan ini merupakan satu peluang penting untuk memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara UUM dan institusi pendidikan tinggi Islam di Indonesia.
“Kami berusaha untuk memperluas kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, mobiliti pelajar dan pensyarah, serta program khidmat komuniti antarabangsa,” ujar beliau.

Antara universiti yang terlibat dalam lawatan ini ialah Universitas Darunnajah, Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta, Universitas Muhammadiyah Prof. Dr. Hamka (UHAMKA), UIN Sunan Kalijaga, dan Universitas Islam Indonesia (UII).
Sepanjang lawatan ini, pelbagai bentuk kerjasama akademik telah dibincangkan dan dipersetujui untuk dilaksanakan, termasuk penyelidikan dan penerbitan bersama, penganjuran persidangan, pelantikan penilai luar bagi tesis Sarjana dan PhD, pembangunan kurikulum, serta program mobiliti.

Selain itu, IBS-UUM turut mengambil peluang untuk mempromosikan program-program akademiknya, termasuk Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB), Sarjana Muda Muamalat dan Pentadbiran (BMA), Sarjana Muda Pengurusan Halal (BHalal), serta program pascasiswazah seperti Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (MIFB) dan Sarjana Pengajian Perniagaan Islam (MIBS).
Dr. Selamah menekankan bahawa, “Bidang pengajian peringkat PhD yang kami tawarkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakan universiti di Indonesia.”
IBS-UUM turut mengetengahkan keunikan program perniagaan berteraskan Islam pertama di dunia yang memperoleh pengiktirafan AACSB.

“Usaha berterusan untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa ini bukan sahaja sebagai satu bentuk syiar Islam, tetapi juga membuktikan bahawa program berteraskan Islam mampu menawarkan kualiti pendidikan bertaraf global,” katanya.
Tambah beliau, IBS-UUM turut berkongsi inisiatif Program Dual Degree MIFB bersama lima UIN terpilih di Indonesia, di mana pengajian pelajar ditaja oleh Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG).
Program ini mendapat sambutan positif daripada semua universiti yang dikunjungi dan mereka menyatakan komitmen untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi merealisasikan kerjasama yang dirancang.
Dalam rangka lawatan ini, Mesyuarat Khas MDPI turut diadakan, yang menghimpunkan barisan kepimpinan akademik dari pelbagai universiti.

Lawatan ini diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Fauzi Hamat, Pengerusi MDPI merangkap Dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), bersama barisan pimpinan MDPI, termasuk Prof. Madya Dr. Khader (APIUM), Prof. Madya Dr. Jasni Sulong (USM), dan Prof. Dr. Hasan Ahmad (UMPSA).
Walaupun jadual lawatan yang padat, para delegasi berpuas hati dengan hasil yang dicapai. “Kami berjaya memenuhi objektif dan hasrat utama lawatan ini, iaitu memperkukuh jaringan kerjasama dan bertukar pandangan untuk memperkasa pengurusan akademik institusi masing-masing,” ujarnya.
Semoga segala usaha ini diberkati dan menjadi pemangkin kepada pemerkasaan pendidikan tinggi pengajian Islam di peringkat global, sekali gus memastikan kelangsungan dan kecemerlangan institusi Islam terus terpelihara.



