SOE UUM perkukuh kejelekitan pensyarah, pemurnian kurikulum selaras standard pendidikan 2025
Gambar oleh: Dr Saifolrudin Khalid Mahzan & Dr Nor Ashikin Ishak
SINTOK, 5 Mei 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kejelekitan dan kolaborasi dalam kalangan pensyarah melalui penganjuran Bengkel Pemurnian Kurikulum Sarjana Muda Pendidikan yang melibatkan penyertaan menyeluruh warga akademiknya.
Bengkel ini dilaksanakan sebagai satu inisiatif strategik bagi memastikan kurikulum program pendidikan sentiasa relevan, dinamik serta memenuhi keperluan semasa sistem pendidikan negara, khususnya selaras dengan standard Program Pendidikan 2025.

Selaras dengan pendekatan semasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bengkel ini turut memberi penekanan kepada aspek pemetaan dan pemurnian elemen Sustainable Development Goals (SDG) serta Value-Based Education (VBE) dalam struktur kurikulum. Pendekatan ini penting bagi memastikan graduan pendidikan bukan sahaja kompeten dari segi akademik, malah mempunyai nilai dan jati diri yang tinggi.
Menurut pihak penganjur, usaha pemurnian ini juga bertujuan memastikan program yang ditawarkan memenuhi keperluan akreditasi dan pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), di samping mematuhi kerangka terkini Malaysian Qualifications Framework 2024 (MQF 2.0).
Inisiatif ini seiring dengan dapatan Bengkel Verifikasi KPM yang menekankan keperluan penyelarasan kurikulum dan unjuran program pendidikan agar selari dengan kehendak sebenar sektor pendidikan negara serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Bengkel pemurnian ini telah dirasmikan oleh Dekan SOE, Prof Madya Dr Mohd Khairi Othman, manakala pelaksanaannya diselaraskan oleh Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa, Prof Madya Ts Dr Irwan Mahazir Ismail bersama-sama Pengerusi Program Sarjana Muda Pendidikan, Dr Saifolrudin Khalid Mahzan & Dr Nor Ashikin Ishak. Penglibatan aktif semua pensyarah mencerminkan komitmen tinggi SOE dalam memastikan kualiti program sentiasa dipertingkat secara berterusan.
Hasil utama bengkel ini menunjukkan pemetaan kurikulum yang lebih tersusun dan menyeluruh, khususnya dalam integrasi elemen VBE dan SDG, di samping berjaya memenuhi keperluan MQF 2024 dengan jayanya.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini membuktikan kesungguhan SOE UUM dalam memperkukuh ekosistem pendidikan yang holistik, mampan dan berdaya saing, seterusnya menyokong aspirasi nasional dalam melahirkan bakal guru yang berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan masa hadapan. – Prof Madya Ts Dr Irwan Mahazir Ismail



