IEIJS, GSGSG UUM Perkukuh Halatuju dan Kolaborasi Strategik
Berita dan gambar oleh: Dr. Lina Munirah Kamarudin
SINTOK, 5 Mei 2026: Institute of Excellence in Islamic Jerusalem Studies (IEIJS), Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) telah mengadakan sesi pertemuan dan mesyuarat pertama bersama para Felo Penyelidik bagi memperkukuh halatuju serta memperluas kolaborasi strategik institut ini.

Pertemuan yang berlangsung tersebut telah menghimpunkan para felo daripada pelbagai bidang kepakaran untuk membincangkan agenda penyelidikan, penerbitan ilmiah, penyeliaan, penglibatan akademik serta potensi jaringan kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sesi tersebut turut menjadi platform penting dalam menyelaras peranan dan sumbangan para felo ke arah memperkasakan bidang Islamicjerusalem Studies sebagai salah satu bidang penyelidikan yang signifikan dan berimpak tinggi.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk perancangan aktiviti akademik, wacana ilmiah, pembangunan penyelidikan berteraskan komuniti, penerbitan ilmiah berkualiti serta pengukuhan jaringan strategik bersama institusi pendidikan dan organisasi berkaitan.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut membuka ruang kepada perkongsian idea dan pengalaman di kalangan felo penyelidik bagi menghasilkan inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan ilmu, masyarakat dan institusi.
Pengarah IEIJS, Prof. Madya Dr. Alias Bin Azhar berkata, “IEIJS komited untuk terus memperkukuh penyelidikan dan membina kerjasama strategik bersama pelbagai pihak dalam usaha memperluas pengaruh serta sumbangan ilmu kepada masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian, pertemuan ini telah menggabungkan pelbagai kepakaran serta dapat menjadi platform terbaik dalam memperkukuh budaya penyelidikan, memperluas jaringan kolaborasi strategik serta meningkatkan keterlihatan IEIJS sebagai pusat rujukan utama dalam bidang Islamicjerusalem Studies”
Komitmen para felo dalam sesi tersebut mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta meningkatkan keterlihatan institut sebagai pusat rujukan dalam bidang Islamicjerusalem Studies di peringkat global. Mesyuarat berakhir dengan sesi perbincangan strategik dan cadangan tindakan susulan bagi memastikan agenda penyelidikan dan kolaborasi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, inklusif dan berimpak tinggi.



