Kunjung hormat AHSGS UUM buka ruang kolaborasi bersama PDRM Kelantan
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar
KELANTAN – Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences, Universiti Utara Malaysia (AHSGS UUM) terus memperkukuh jaringan strategik bersama agensi penguatkuasaan apabila mengadakan kunjung hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, baru-baru ini.

Delegasi UUM yang diketuai oleh Dekan AHSGS, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar, Pengerusi Program Siswazah SAPSP, Dr. Norazlina Zakaria serta Prof. Dr. Jamaludin Mustaffa telah disambut oleh Ketua Polis Kelantan, YDH CP Dato’ Hj Mohd Yusoff bin Mamat bersama Timbalan Ketua Polis Kelantan, YDH DCP Mohd Ali bin Tamby dalam satu sesi perbincangan rasmi yang berlangsung di IPK Kelantan.

Kunjung hormat tersebut bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua institusi di samping membincangkan potensi kerjasama dalam bidang pengajian pascasiswazah khususnya pengajian sarjana sains koreksional serta pembangunan komuniti.
Prof. Madya Dr. Md. Zawawi berkata, AHSGS UUM sentiasa komited dalam memperluas jaringan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara serta pembangunan modal insan melalui pembelajaran sepanjang hayat.



