Pemerkasaan ekonomi wanita Kubang Pasu melalui program latihan gunting rambut “suri anggun”
Berita dan gambar oleh: Dr. Hanis Hazwani Ahmad
KUBANG PASU – Program pembangunan komuniti di bawah Geran Inovasi Sosial (SIGS) 2025 telah berjaya melaksanakan inisiatif “Suri Anggun”, sebuah program latihan kemahiran gunting rambut intensif yang menyasarkan pemerkasaan ekonomi golongan wanita dan beliawanis di daerah Kubang Pasu.
Projek komuniti ini dianggotai oleh Dr. Hanis Hazwani Ahmad, Prof. Madya Dr. Sabariah Nordin, Dr. Juhaida Abu Bakar dan Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin yang komited dalam memastikan peserta menerima latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar serta pakar industri yang berkaitan.

Program ini telah diadakan dengan penglibatan aktif peserta daripada pelbagai latar belakang di sekitar Kubang Pasu. Di samping memupuk, program ini juga membuka ruang penambahan pendapatan kepada para peserta yang terdiri daripada suri rumah dan beliawanis. Peserta yang hadir menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk menguasai kemahiran dandan diri yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran lokal.
Menurut Dr. Hanis Hazwani Ahmad sebagai ketua projek, kejayaan program ini bukan sekadar diukur melalui tamatnya tempoh latihan, tetapi melalui kelestarian pendapatan para peserta. Sebahagian daripada peserta telah pun berjaya menjana pendapatan hasil daripada program ini.

“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan ilmu yang diajar di kampus dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi buat komuniti di Kubang Pasu. Melalui geran ini, kita bukan sahaja memberi ‘ikan’, tetapi kita memberikan ‘joran’ iaitu kemahiran dan peralatan profesional untuk mereka berdikari,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan modul “Suri Anggun” yang merangkumi teknik potongan rambut moden, penjagaan kebersihan peralatan, serta etika perkhidmatan pelanggan.
Antara fokus utama adalah memastikan peserta bukan sahaja mahir memegang gunting, malah mampu memberikan hasil potongan yang profesional. Pengetahuan ini amat kritikal bagi membina kepercayaan pelanggan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan mampu bersaing dengan salun sedia ada.

Sesi latihan dan perkongsian ilmu ini dikendalikan oleh tenaga pakar yang berpengalaman. Selain penyampaian secara praktikal (hands-on), program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk membincangkan strategi memulakan perniagaan dari rumah atau secara bergerak.
Interaksi dua hala ini membolehkan peserta mendapat bimbingan terus mengenai cabaran memulakan perniagaan kecil-kecilan, pengurusan kewangan serta kaedah pemasaran digital yang berkesan.
Sebagai nilai tambah, setiap peserta turut dibekalkan dengan kit peralatan gunting rambut profesional. Pemberian ini bertujuan secara tidak langsung membantu peserta dari segi penyediaan modal permulaan, sekali gus membolehkan peserta memulakan perkhidmatan serta-merta selepas tamat latihan. Program ini juga menjadi platform rangkaian (networking) buat para wanita dalam komuniti untuk saling menyokong dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Bagi salah seorang wakil peserta, Puan Khairunnisa Mansor, 38, program ini telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya sebagai seorang suri rumah. Beliau menyifatkan bimbingan yang diberikan oleh tenaga pengajar sangat mudah difahami walaupun bagi mereka yang tiada asas dalam bidang dandanan.

“Sebelum ini saya hanya menggunting rambut anak-anak di rumah secara suka-suka. Namun, melalui program Suri Anggun ini, saya belajar teknik potongan yang betul dan cara menguruskan pelanggan dengan profesional. Terima kasih kepada UUM kerana memberi peluang dan set peralatan lengkap. Kini saya sudah mula menerima tempahan daripada keluarga dan jiran-jiran berdekatan,” ulasnya penuh syukur.
Secara keseluruhannya, program “Suri Anggun” telah memberikan impak positif yang nyata dalam meningkatkan kemahiran teknikal serta memperkukuh jati diri usahawan wanita di daerah Kubang Pasu. Inisiatif ini dijangka akan menjadi model kelestarian ekonomi komuniti yang berterusan, sejajar dengan misi universiti dalam menerajui transformasi sosial yang bermakna.