SMMTC terima 75 mahasiswa antarabangsa sempena ISEP’26
Berita dan gambar oleh: Nur Adila Yasril
SINTOK, 9 – 22 Mei 2026: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia menerima seramai 75 mahasiswa antarabangsa bagi menyertai International Student Mobility Programme 2026 (ISEP’26) yang berlangsung bermula 9 hingga 22 Mei 2026 di kampus UUM Sintok dengan kerjasama INASIS MAS.
Program tahunan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu menghimpunkan peserta dari Indonesia dan Sudan mewakili tujuh institusi pengajian tinggi antarabangsa iaitu Universitas Pancasila, Universitas Hasanuddin, Politeknik Tempo, STITNU Sakinah Dharmasraya, Universitas Riau (UMRI), Universitas Muhammadiyah Cirebon (UMC) dan Universitas Mataram (UNRAM).

Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata ISEP bukan sekadar program mobiliti pelajar tidak berkredit, tetapi menjadi ruang untuk mahasiswa membina jaringan global, memahami budaya serantau dan mengaplikasikan komunikasi untuk pembangunan masyarakat. Tahun ini juga menjadi satu pencapaian baharu buat SMMTC apabila berjaya menghimpunkan 75 peserta antarabangsa.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SMMTC, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata program yang dikelolakan sepenuhnya oleh pelajar SMMTC yang diketuai oleh Nur Damisha Husna Binti Zuli Hendra ini bukan sahaja memberi pengalaman pengurusan acara bertaraf antarabangsa kepada mahasiswa, malah menjadi platform penting dalam membentuk kemahiran komunikasi, kepimpinan dan jaringan global dalam kalangan pelajar.
“Pelajar bukan sahaja bertindak sebagai urus setia, tetapi mereka sendiri merancang, menyelaras dan melaksanakan keseluruhan program bersama peserta antarabangsa. Pengalaman sebenar seperti ini sangat bernilai dalam membentuk graduan yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Sepanjang dua minggu program berlangsung, peserta akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk UUM Learning Experience, Cultural Night, Kedah Cultural Tour, Sintok Edu-Tourism, Living with Locals, serta pertandingan pitching bertemakan “Sustainable Communication Strategies x SDGs”.
Melalui pendekatan 1:1 bersama pelajar tempatan UUM sebagai buddies, peserta antarabangsa turut diberi peluang merasai pengalaman kehidupan kampus dan budaya masyarakat tempatan secara lebih dekat.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, ISEP terus menunjukkan perkembangan positif dengan penyertaan sekitar 30 peserta pada edisi pertama dan kedua, sebelum mencatat peningkatan ketara pada tahun ini.
Program ini juga dilihat selari dengan usaha Universiti Utara Malaysia dalam memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan universiti serta memperluaskan jaringan kerjasama akademik di peringkat global amnya dan ASEAN khasnya.



