SLCP terima kunjungan jelajah pengurusan TNC Penyelidikan dan Inovasi
Berita dan gambar oleh: Nur Shahira Mohd Ludin
SINTOK, 10 Mei 2026: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) telah menerima kunjungan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad sempena sesi jelajah pengurusan bertempat di Bilik Mesyuarat Zamrud, SLCP.
Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Dekan Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), wakil UUMIT, Dekan Pusat Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) bersama barisan timbalan dekan serta warga akademik SLCP.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada sesi libat urus pihak Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bersama pusat-pusat pengajian bagi memperkukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti.
Sesi jelajah telah dimulakan dengan ucapan aluan daripada pihak pengurusan SLCP sebelum diteruskan dengan ucapan oleh Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang turut menyampaikan aspirasi serta hala tuju universiti selaras dengan visi Universiti Utara Malaysia dalam memperkasakan budaya penyelidikan dan inovasi.
Turut diadakan juga sesi taklimat berkaitan ekosistem penyelidikan di bawah portfolio TNC Penyelidikan dan Inovasi serta sesi soal jawab yang membuka ruang kepada warga akademik untuk mengemukakan pandangan dan pertanyaan berkaitan keperluan di SLCP.
Selain itu, sesi libat urus berkaitan isu infrastruktur dan infostruktur turut diadakan bersama pihak berkaitan termasuk wakil UUMIT dan JPPI. Pelbagai cadangan serta isu yang dibangkitkan oleh pihak SLCP telah diterima baik oleh semua pihak bertanggungjawab dan perbincangan telah berlangsung dalam suasana positif serta konstruktif demi memastikan kebajikan dan keperluan warga pusat pengajian terus diberi perhatian.



