General

DATO’ MK janji bantu UUM

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 13 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini secara rasmi menerima kehadiran YBhg. Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang baharu dalam satu Sesi Suai Tugas yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.

Dalam sesi tersebut, Dato’ Muhamad Khizri menzahirkan komitmen jitu beliau untuk menyumbang kepakaran dan khidmat bakti demi kelangsungan kecemerlangan universiti pengurusan terkemuka ini.

“Niat saya adalah untuk menyumbang kepada UUM. Saya mahu mencipta sejarah dan memastikan legasi serta nama baik saya terpelihara menerusi kejayaan universiti ini,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran global, beliau meletakkan sasaran untuk membantu universiti memperbaiki kedudukan semasa kepada kedudukan yang lebih membanggakan.

Beliau yang juga mempunyai latar belakang dalam dunia politik dan perniagaan di peringkat antarabangsa (Australia dan Singapura) bertekad untuk membawa perspektif baharu bagi mengubah persepsi negatif terhadap penglibatan ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti.

“Jika saya gagal membawa perubahan atau memberikan impak positif, saya sendiri akan mengundurkan diri. Kehadiran saya di sini adalah untuk berkhidmat kepada negeri saya sendiri,” katanya yang sudah melepaskan jawatan Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia pada 30 April lalu.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan pelantikan Dato’ Muhamad Khizri sebagai satu kelebihan besar buat universiti, memandangkan beliau merupakan anak jati Kedah yang pulang berkhidmat ke tanah kelahirannya.

“Warga UUM amat berbesar hati menerima pelantikan ini. Kami yakin pengalaman luas beliau di peringkat korporat dan antarabangsa akan memberi manfaat besar kepada ‘Keluarga Besar UUM’.

“Kami komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan misi melonjakkan nama UUM di persada antarabangsa tercapai,” kata Prof. Dr. Ahmad Martadha.

Sesi suai tugas tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan universiti dan ahli pengurusan tertinggi yang sama-sama mendoakan agar sinergi baharu ini dapat memacu UUM ke arah kegemilangan yang lebih lestari. – Bakhari Che Mohamed Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button