PPQA mantapkan pasukan KIK UUM hadapi Konvensyen Horizon Baharu KIK Universiti Awam 2026
Berita dan gambar oleh: Siti Hajar Mat Isa
SINTOK, 7 Mei 2026: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil langkah proaktif memperkasakan inovasi warganya melalui penganjuran Bengkel Pemantapan dan Pemurnian Dokumentasi Laporan Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
Bengkel intensif ini diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, PPQA sebagai persediaan rapi buat kumpulan KIK UUM yang bakal membawa nama universiti ke peringkat kebangsaan.

Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Noor Azmi bin Abdul Manaf, Panel Penilai dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai penceramah jemputan.
Beliau berkongsi kepakaran dan pengalaman berkaitan teknik penyelesaian masalah, penyediaan dokumentasi projek yang berkualiti serta kaedah penyampaian persembahan yang lebih berkesan.
Bengkel ini melibatkan penyertaan secara langsung daripada dua kumpulan KIK terbaik yang telah merangkul gelaran johan dan naib johan di peringkat dalaman UUM iaitu kumpulan PARADIGMA dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dan kumpulan KIK UUMCREATE dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI).

Melalui sesi perkongsian dan bimbingan secara langsung, setiap kumpulan diberikan pendedahan berkaitan struktur penulisan laporan projek, analisis data, penyediaan bukti sokongan serta elemen penting dalam pertandingan KIK di peringkat universiti awam.
Penganjuran bengkel ini juga dilihat sebagai satu usaha berterusan universiti dalam memperkukuhkan budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga UUM.

Selain meningkatkan kompetensi staf, program ini turut menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti khususnya dalam aspek inovasi, pembangunan bakat dan penjenamaan institusi di peringkat kebangsaan.
PPQA berharap agar bengkel seumpama ini dapat membantu kumpulan KIK UUM menghasilkan dokumentasi projek yang lebih mantap, berimpak tinggi dan berpotensi meraih kejayaan pada Konvensyen Horizon Baharu KIK Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18 yang akan diadakan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 4 hingga 6 Ogos 2026 nanti.



