Eksplorasi Arkeologi@MALB buka perspektif baharu pelajar terhadap warisan arkeologi Lembah Bujang dan Guar Kepah
Berita dan gambar Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar
MERBOK, 19 Mei 2026: Sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa, Muzium Arkeologi Lembah Bujang (MALB) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Eksplorasi Arkeologi@MALB bertempat di Muzium Arkeologi Lembah Bujang.
Pengarah Projek, Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar berkata, program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kerja lapangan bagi kursus SALNK 1233 Pengantar Arkeologi, Program Ijazah Sarjana Muda Sejarah Gunaan, UUM yang melibatkan 70 pelajar bertujuan memberi pendedahan langsung mengenai proses pemetaan dan ekskavasi di tapak arkeologi, di samping lawatan ilmiah ke Galeri Guar Kepah di Pulau Pinang.

Menurutnya, pengisian kerja lapangan di MALB memberi peluang kepada pelajar memahami secara praktikal bagaimana bukti arkeologi dikaji, direkod dan ditafsir.
Katanya, melalui aktiviti pemetaan serta penerangan berkaitan proses ekskavasi, pelajar dapat melihat sendiri bahawa arkeologi bukanlah sekadar aktiviti mencari artifak, sebaliknya ia melibatkan kaedah kerja yang sistematik, beretika dan berpandukan data lapangan.
“Program ini dirancang bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam melalui gabungan antara kerja lapangan, lawatan muzium dan penerangan langsung oleh pihak yang terlibat dalam pengurusan warisan.
“Pembelajaran arkeologi tidak boleh terhad kepada teori di dalam kelas sahaja. Pelajar perlu melihat sendiri tapak, artifak dan konteks penemuan supaya mereka memahami bagaimana data arkeologi digunakan untuk mentafsir kehidupan masyarakat lampau.
“Lawatan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan Galeri Guar Kepah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami kesinambungan sejarah, daripada masyarakat prasejarah Neolitik sehinggalah perkembangan tamadun awal di Lembah Bujang,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pengalaman melihat artifak dan mendengar penerangan di muzium membantu pelajar membina pemahaman baharu terhadap bidang arkeologi. Hal ini kerana pelajar bukan sahaja mempelajari definisi, konsep dan kaedah arkeologi, tetapi turut memahami kepentingan konteks tapak, bahan budaya dan interpretasi saintifik dalam menjelaskan sejarah manusia.
Sementara itu, Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Azhar Mohamed Noor menyifatkan penganjuran program ini sebagai usaha penting dalam memperkukuh fungsi muzium sebagai pusat pendidikan warisan dan pembelajaran lapangan.
“Muzium bukan hanya tempat menyimpan dan mempamerkan artifak, tetapi juga ruang pembelajaran yang membolehkan pelajar memahami sejarah melalui bukti sebenar.
“Melalui kerja lapangan seperti ini, pelajar dapat melihat sendiri bagaimana tinggalan arkeologi ditafsirkan dan bagaimana sesuatu tapak warisan mempunyai nilai penting kepada sejarah negara,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan program sempena Hari Muzium Antarabangsa juga amat bermakna kerana ia memperlihatkan peranan muzium sebagai institusi yang menghubungkan masyarakat, pelajar dan penyelidik dengan warisan kebudayaan serta sejarah tempatan.

Sementara lawatan ke Galeri Guar Kepah, Pulau Pinang memberikan dimensi tambahan kepada pemahaman pelajar tentang perkembangan masyarakat prasejarah, khususnya zaman Neolitik di utara Semenanjung Malaysia.
Penerangan berkaitan penemuan artifak arkeologi Neolitik, termasuk bukti penempatan awal, amalan pengebumian, peralatan batu, sisa makanan dan kehidupan masyarakat pesisir, membantu pelajar memahami bahawa kajian arkeologi mampu membina semula cara hidup masyarakat lampau berdasarkan tinggalan material.
Melalui lawatan ini, pelajar dapat menghubungkan maklumat teori yang dipelajari dalam kuliah dengan bukti fizikal yang dipamerkan di muzium. Penemuan di Guar Kepah, misalnya, memberi gambaran bahawa masyarakat Neolitik telah mempunyai pengetahuan tentang penyesuaian terhadap alam sekitar, penggunaan sumber pesisir, teknologi alat batu dan amalan sosial tertentu. Kefahaman ini penting kerana ia membolehkan pelajar melihat arkeologi sebagai bidang yang meneliti hubungan antara manusia, budaya dan persekitaran secara menyeluruh.
Program Ijazah Sarjana Muda Sejarah Gunaan, Ismail M. Husin berkata, pengalaman kerja lapangan tersebut dianggap sebagai peluang keemasan untuk memahami arkeologi secara lebih nyata.
“Sebelum ini kami hanya belajar tentang arkeologi melalui kuliah, nota dan bacaan. Apabila turun ke muzium dan melihat sendiri artifak serta penerangan berkaitan penemuan Neolitik di Guar Kepah, kami lebih faham bagaimana ahli arkeologi mentafsir kehidupan masyarakat dahulu. Pengalaman ini menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami.

“Lawatan ke Galeri Guar Kepah telah membuka pandangan baharunya tentang kepentingan artifak kecil yang mungkin sebelum ini dianggap biasa, tetapi hakikatnya mempunyai nilai yang sangat besar dalam menjelaskan sejarah kehidupan manusia,” katanya.
Program kerja lapangan ini memperkukuhkan kefahaman pelajar terhadap bidang arkeologi melalui pendekatan pengalaman sebenar. Gabungan aktiviti di MALB dan lawatan ke Galeri Guar Kepah membolehkan pelajar memahami bahawa arkeologi bukan sekadar teori, tetapi satu disiplin ilmu yang berasaskan bukti, konteks dan tafsiran terhadap kehidupan manusia masa lampau.
Seiring dengan sambutan Hari Muzium Antarabangsa, program ini turut membuktikan bahawa muzium memainkan peranan penting sebagai ruang pembelajaran aktif dalam membentuk kesedaran, minat dan penghargaan generasi muda terhadap warisan negara.



