Kumpulan penyelidik UUM ke Malaysia Takaful Association bagi Projek Takaful Chatbot
Berita dan gambar Mejar Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin dan Dr. Azizah Che Omar
KUALA LUMPUR, 19 Mei 2026: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan akademik dan sesi perbincangan bersama Malaysian Takaful Association (MTA) pada 24hb April lalu di Bilik Mesyuarat MTA dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan projek penyelidikan berkaitan pembangunan chatbot takaful patuh syariah.

Delegasi penyelidik UUM terdiri daripada pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) yang diketuai oleh Dr. Azizah Che Omar, Mejar Prof. Madya Dr. Mohd Adib Abd Muin, Dr. Norhana Yusof, Prof. Madya TS. Dr. Subashini Annamalai dan Pembantu Penyelidik, Kuo Wei Sheng yang merupakan pelajar SMMTC.
Dr. Azizah berkata, kunjungan tersebut diadakan bagi membincangkan kerjasama strategik serta mendapatkan pandangan industri terhadap geran penyelidikan bertajuk “TAKAFUL FOR ALL: Designing a Shariah-Compliant Conversational Agent to Promote Islamic Financial Literacy among Marginalized Communities”.
Menurutnya, projek ini bertujuan membangunkan ejen perbualan digital (chatbot) yang mesra pengguna dan berlandaskan prinsip syariah bagi meningkatkan tahap literasi kewangan Islam khususnya dalam kalangan komuniti terpinggir.
Dalam sesi tersebut, pelbagai isu berkaitan kesedaran takaful, cabaran akses maklumat kewangan Islam, dan penggunaan teknologi digital sebagai medium pendidikan masyarakat telah dibincangkan secara mendalam.

Beliau berkata, pembangunan chatbot ini diharap mampu menjadi platform pendidikan kewangan Islam yang interaktif, mudah dicapai serta membantu masyarakat memahami konsep asas takaful, perlindungan kewangan, kepentingan pengurusan risiko dan produk-produk takaful yang tersedia di Malaysia.
Pihak Malaysian Takaful Association turut menyambut baik inisiatif tersebut dan menyatakan kesediaan untuk berkongsi pandangan industri serta menyokong usaha memperluaskan literasi takaful kepada masyarakat.
Kerjasama antara institusi akademik dan industri dilihat penting dalam memastikan pembangunan teknologi kewangan Islam yang relevan, praktikal dan memberi impak sosial yang tinggi.
Projek penyelidikan ini juga selari dengan agenda pendigitalan kewangan Islam negara serta aspirasi memperkasakan inklusiviti kewangan dalam kalangan masyarakat melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan yang patuh syariah.



