Campus

UUM Dan AKRAB Teroka Kerjasama Strategik Perkasa Pembangunan Mahasiswa

Berita dan gambar oleh: Siti Nazirah Jaya

KUALA LUMPUR, 22 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama industri menerusi sesi kunjung hormat Pusat Kerjasama Universiti – Industri (CUIC) dalam sesi perbincangan bersama Yang Mulia Raja Azura selaku Co-founder AKRAB Resources dan juga ahli lembaga pengarah bagi Johor Plantations Group Berhad dalam usaha memperluas kolaborasi yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan akademik, industri dan komuniti.

Pertemuan tersebut menjadi platform penting dalam memperincikan potensi kerjasama strategik yang boleh diterokai antara kedua-dua pihak khususnya dalam potensi pelaksanaan program mentoring yang melibatkan bidang sumber manusia, perakaunan dan laluan kerjaya bagi membantu mahasiswa memperoleh pendedahan awal terhadap industri.

Selain itu, sesi tersebut turut menyentuh usaha memperluas peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam program pembangunan bakat dan aktiviti yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan. pemerkasaan komuniti serta pelaksanaan program-program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhannya.

Dalam Sesi pertemuan singkat ini juga, YM Raja Azura yang juga merupakan Ahli Majlis Penasihatan Universti-Industri, Universiti Utara Malaysia (MPUI) turut mencadangkan agar agenda Industry-on-Campus dapat dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar merasai pengalaman bekerja yang sebenar sekaligus mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah dipelajari di universiti.

Delegasi UUM yang diketuai oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti – Industri, turut berkongsi aspirasi universiti untuk terus memperkasakan hubungan universiti-industri dan komuniti menerusi pendekatan kolaboratif yang lebih dinamik sejajar dengan keperluan semasa serta perkembangan landskap pendidikan tinggi negara. Delegasi UUM turut disertai Dr. Nuramalina binti Mohamad Na’in, Penyelaras Latihan Industri UUMCAS.

Dalam sesi tersebut, pelbagai cadangan kerjasama telah dibincangkan termasuk pelaksanaan program pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa, program tanggungjawab sosial korporat (CSR), perkongsian kepakaran, pembangunan jaringan profesional serta inisiatif berkaitan kesejahteraan komuniti dan pembangunan bakat.

Selain itu, kerjasama yang dirancang juga dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa UUM untuk meningkatkan kemahiran insaniah, memperluas jaringan industri dan memperoleh pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap realiti dunia pekerjaan dan keusahawanan.

YM Raja Azura menyambut baik hasrat dan komitmen UUM dalam memperkukuh jaringan strategik bersama pihak industri dan komuniti. Beliau turut menzahirkan kesediaan AKRAB untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang boleh memberi nilai tambah kepada pembangunan pendidikan, kepimpinan belia dan kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan organisasi luar amat penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mempunyai daya kepimpinan, kemahiran komunikasi dan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Sementara itu, UUM melihat kerjasama strategik bersama AKRAB sebagai satu langkah proaktif dalam memperluas jaringan rakan strategik universiti serta memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang sentiasa responsif terhadap keperluan industri dan masyarakat.

Usaha ini juga selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memperkasa ekosistem kolaborasi strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendekatan pendidikan yang holistik, inklusif dan berimpak tinggi.

Melalui jalinan kerjasama seperti ini, UUM optimis hubungan yang terjalin akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik pada masa hadapan sekali gus memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi pengajian tinggi yang komited dalam membina jaringan kerjasama yang mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button