Campus

Bengkel pemantapan penilaian artikel IJMS dan MMJ perkasa kualiti penerbitan jurnal UUM

Gambar oleh: Nur Syahirah Mohd Fuzi

SINTOK, 19 Mei 2026: UUM Press melalui Seksyen Jurnal telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Penilaian Artikel Jurnal bagi International Journal of Management Studies (IJMS) dan Malaysian Management Journal (MMJ) di EDC, UUM.

Bengkel ini dianjurkan sebagai usaha memperkukuh kualiti pengurusan dan penilaian artikel jurnal ilmiah, khususnya melibatkan jurnal IJMS dan MMJ. Program tersebut turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pemantapan kefahaman dalam kalangan sidang pengarang serta penilai jurnal berkaitan amalan terbaik proses penilaian manuskrip akademik.

Slot pertama bengkel telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin yang menyampaikan sesi berkaitan pemantapan penilaian jurnal. Dalam sesi tersebut, beliau menekankan aspek integriti akademik, kualiti ulasan penilai, etika penerbitan, serta kepentingan memastikan proses penilaian artikel dilaksanakan secara profesional, telus dan konstruktif bagi meningkatkan mutu penerbitan jurnal universiti.

Sementara itu, slot kedua telah disampaikan oleh Encik Che Mohamad Khairul Hakiman yang memberi pendedahan berkaitan penggunaan Open Journal System (OJS) dalam proses penilaian artikel. Peserta turut diberi latihan dan panduan praktikal mengenai pengurusan tugasan penilai, proses semakan manuskrip, komunikasi editorial serta pemantauan status artikel melalui sistem tersebut.

Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dan keseragaman proses penilaian artikel jurnal di bawah UUM Press, seterusnya memperkukuh reputasi jurnal-jurnal UUM di peringkat nasional dan antarabangsa. Selain itu, program sebegini juga menjadi medium penting dalam memastikan standard penerbitan akademik universiti sentiasa berada pada tahap yang berkualiti dan berdaya saing. – Fadhlina Md Pudzi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button