Dua pelajar UUM terima pengiktirafan sebagai DHL APSSC Ambassador
Gambar oleh: Dr. Fikriyah Abdullah
SINTOK, 19 Mei 2026: Dua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima pengiktirafan apabila dilantik sebagai DHL APSSC Ambassador dalam satu sesi penyerahan surat lantikan sempena Karnival Kerjaya UUM 2026 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM baru-baru ini.
Pelajar yang terpilih ialah Nur Hannah Alicia binti Mohd Nazarul Haizan daripada Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Pavitharan Rao a/l Subramaniam daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).

Surat lantikan tersebut telah diserahkan oleh wakil DHL APSSC sebagai tanda penghargaan terhadap potensi kepimpinan, keterampilan profesional serta komitmen kedua-dua pelajar dalam pembangunan diri dan keterlibatan bersama industri.
Turut hadir menyaksikan sesi penyerahan tersebut ialah Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) serta Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras School of Hard Knocks (SoHK).
Menurut Dr. Fikriyah Abdullah, pelantikan tersebut membuktikan bahawa pelajar UUM mempunyai potensi besar untuk menyerlah di peringkat industri global melalui penglibatan aktif dalam program pembangunan bakat dan jaringan profesional bersama syarikat antarabangsa.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara UUM dan DHL APSSC mampu membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran insaniah, pengalaman industri serta kebolehpasaran graduan selaras dengan kehendak majikan masa kini.

“PPKKG sentiasa komited memperluaskan kolaborasi bersama industri bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan dunia pekerjaan sebenar dan mampu bersaing secara kompetitif selepas tamat pengajian,” katanya.
Pelantikan ini dilihat sebagai satu platform strategik dalam memperkukuhkan hubungan antara pihak industri dan mahasiswa, di samping memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi wakil penghubung antara DHL APSSC dan komuniti kampus.
Melalui peranan sebagai DHL APSSC Ambassador, kedua-dua pelajar akan terlibat dalam pelbagai aktiviti pembangunan bakat, program perkongsian industri serta inisiatif kebolehpasaran graduan yang dijalankan bersama pihak DHL dan UUM.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan UUM melalui PPKKG dan program SoHK dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan mempunyai pendedahan industri yang relevan selaras dengan keperluan semasa pasaran kerja. – Anis Zulaikha Kamal



