Ceramah kerjaya Bank Islam padawan 2.0 tingkat kesedaran literasi kewangan mahasiswa
Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 20 Mei 2026: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) menerusi program School of Hard Knocks (SoHK) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menganjurkan Ceramah Kerjaya Bank Islam Padawan 2.0 di Auditorium SAC baru-baru ini.
Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa berkaitan pengurusan kewangan peribadi serta kepentingan perancangan kewangan yang baik sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Sesi perkongsian yang berlangsung secara interaktif itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar yang hadir.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai topik penting berkaitan kewangan termasuk pemahaman tentang laporan CCRIS, Debt Service Ratio (DSR) serta konsep kadar kompaun yang sering digunakan dalam urusan perbankan dan pembiayaan kewangan.
Penceramah daripada pihak BIMB turut menjelaskan kepentingan rekod kewangan yang baik dalam menentukan kelayakan seseorang untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan pada masa hadapan. Selain itu, mahasiswa juga diberi penerangan tentang kaedah pengiraan DSR bagi membantu mereka memahami kemampuan kewangan sebelum membuat sebarang komitmen hutang.

Dalam sesi yang sama, para peserta turut diberi pendedahan mengenai konsep kadar kompaun dan kesannya terhadap simpanan serta komitmen kewangan jangka panjang. Perkongsian berbentuk situasi sebenar dan pengalaman industri berjaya menarik minat mahasiswa untuk lebih cakna terhadap pengurusan kewangan sejak di bangku universiti lagi.
Menurut penyelaras SoHK, Dr. Aidanajwa Sabri, program seperti ini amat penting dalam membantu mahasiswa memahami realiti pengurusan kewangan sebelum memasuki alam pekerjaan. Beliau berkata, pendedahan awal berkaitan pengurusan hutang, rekod kewangan dan perancangan kewangan yang baik dapat membantu graduan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak pada masa hadapan.

Beliau turut berharap agar kerjasama strategik bersama pihak industri seperti BIMB dapat diteruskan dalam memperkasa pengetahuan dan kebolehpasaran mahasiswa melalui program berbentuk perkongsian industri dan pembangunan kendiri.
Program ini diharap dapat membantu mahasiswa meningkatkan tahap literasi kewangan serta menjadi lebih bersedia dalam mengurus kewangan peribadi apabila memasuki alam pekerjaan kelak. Selain itu, penganjuran program seperti ini turut membuktikan komitmen PPKKG menerusi SoHK dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berkualiti dari aspek akademik, malah celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.



