Campus

Majikan puji kualiti pelajar UUM pada karnival kerjaya 2026

Gambar oleh: Sekretariat Media & Publisiti Karnival Kerjaya UUM

SINTOK, 18 & 19 Mei : 40 wakil syarikat daripada pelbagai sektor industri menerima sijil penghargaan sempena penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2026 yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Mu’adzam Shah baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti dan industri serta membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada mahasiswa dan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sesi penyerahan sijil penghargaan itu disampaikan oleh Encik Muzamil Mahmud, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bersama Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) sebagai tanda penghargaan kepada syarikat-syarikat yang telah memberikan komitmen tinggi sepanjang berlangsungnya karnival tersebut.

Karnival Kerjaya UUM 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai syarikat dan organisasi terkemuka yang menawarkan peluang pekerjaan, latihan industri serta pendedahan berkaitan keperluan semasa industri kepada para pelajar.

Selain sesi temu duga terbuka, program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti sesi perkongsian kerjaya, semakan resume dan jaringan industri yang memberi manfaat besar kepada mahasiswa UUM.

Menurut wakil syarikat yang hadir, mereka amat berpuas hati dengan kualiti pelajar UUM yang disifatkan mempunyai tahap komunikasi yang baik, berkeyakinan tinggi serta menunjukkan kesediaan untuk menempuh alam pekerjaan sebenar. Malah, beberapa syarikat turut memuji sikap profesional dan komitmen yang ditunjukkan oleh mahasiswa sepanjang sesi temu duga dan interaksi bersama pihak industri.

Maklum balas positif yang diterima itu sekali gus membuktikan bahawa graduan UUM terus menjadi pilihan majikan dalam memenuhi keperluan tenaga kerja profesional negara.

Hubungan erat antara universiti dan pihak industri juga dilihat semakin kukuh melalui penganjuran program seumpama ini yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk saling bekerjasama dan bertukar pandangan.

Dalam pada itu, beberapa syarikat turut menyatakan hasrat dan minat untuk terus bekerjasama dengan UUM melalui penyertaan dalam program-program kerjaya yang akan datang. Antaranya termasuk UUM Mini Career Day yang dijadualkan berlangsung pada bulan November ini sempena Minggu Konvokesyen UUM.

Program tersebut dijangka menjadi platform tambahan kepada graduan dan bakal graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara terus daripada pihak industri.

Penganjuran Karnival Kerjaya UUM 2026 dilihat sebagai salah satu inisiatif penting universiti dalam memastikan mahasiswa mendapat pendedahan awal terhadap kehendak pasaran kerja semasa, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri masa kini. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button