Education

Perbincangan strategik bersama YM Raja Azura perkukuh pembangunan modal insan graduan

Gambar Dr. Aidanajwa Sabri

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2026: Satu sesi perbincangan strategik telah diadakan bersama Lembaga Pengarah, Johor Plantations Group Berhad, YM Raja Azura Raja Mahayuddin.

YM Raja Azura merupakan alumni UUM yang menamatkan pengajian dalam program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian pada tahun 1997 dan kini terus menyumbang kepakaran serta pandangan strategik melalui penglibatan dalam Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) UUM.

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan  Subramania bersama Pengarah, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah dan Penyelaras, School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Aidanajwa Sabri.

Dr. Chandrakantan berkata, perbincangan tersebut memberi fokus kepada pelaksanaan inisiatif pembangunan bakat pelajar melalui kerjasama strategik antara universiti dan industri.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pengukuhan program berorientasikan industri, pembangunan kemahiran insaniah, pendedahan dunia pekerjaan serta pemerkasaan program kebolehpasaran graduan yang selari dengan kehendak industri semasa.

Selain itu, sesi ini turut membuka ruang kepada pertukaran idea dan pandangan berkaitan pendekatan terbaik dalam melahirkan graduan yang lebih kompetitif, holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia kerjaya masa kini.

Dalam pertemuan tersebut, turut dibincangkan mengenai penganjuran program yang memberi manfaat kepada pelajar UUM melalui perkongsian pengalaman industri, pembangunan kerjaya serta pendedahan berkaitan hala tuju kerjaya masa hadapan.

Usaha kolaboratif seperti ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkukuh jaringan bersama alumni dan pihak industri demi memastikan graduan UUM terus relevan, berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa. – Anis Zulaikha Kamal

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button