Karnival kerjaya UUM 2026 meriah dengan Alumni Career Talk
Gambar oleh: Khairul Azman Bin Rohim
SINTOK, 18 & 19 Mei 2026: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) telah menganjurkan dua sesi Alumni Career Talk sempena Karnival Kerjaya UUM 2026 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Sesi pada 18 Mei 2026 menampilkan Encik Ahmad Shahrul Hj. Mohamed, rakan kongsi di KHR Chartered Accountants serta alumni Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1994), menerusi perkongsian bertajuk “A Journey from Graduate to Board Member: Real Career Insights”.

Beliau turut berkongsi pengalaman sepanjang menuntut di UUM serta perjalanan kerjaya beliau sehingga berjaya dalam dunia profesional.
Beliau turut menekankan aspek kesiapsiagaan graduan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, di samping mengingatkan para pelajar mengenai kepentingan kemahiran, sikap profesional dan daya saing dalam membina kerjaya yang cemerlang.
Manakala, sesi pada 19 Mei 2026 disampaikan oleh Encik Amran bin Tomin, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysian Aviation Group (MAG) dan alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996), melalui tajuk “Flying High: Unlocking Airline Careers & the Mindset of Successful CXOs”.
Beliau memberi pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam industri penerbangan serta berkongsi pandangan tentang kepentingan komunikasi berkesan, kemahiran kepimpinan, pemikiran strategik dan nilai profesionalisme dalam melahirkan pemimpin korporat yang berjaya serta berdaya saing di peringkat global.
Program ini turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti binti Abu Bakar, serta Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah binti Abdullah.

Menurut Prof. Madya Dr. Lily Julienti, penganjuran program seperti ini menjadi platform penting dalam menghubungkan alumni dengan mahasiswa melalui perkongsian pengalaman, ilmu dan inspirasi kerjaya. Beliau berkata, penglibatan alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing bukan sahaja mampu memberi motivasi kepada pelajar, malah membantu mereka memahami realiti sebenar dunia pekerjaan serta membina keyakinan diri dalam merancang hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian.
Program berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar dengan kehadiran seramai 250 peserta. Kehadiran dan penglibatan aktif para pelajar jelas menunjukkan minat serta kesedaran mereka terhadap kepentingan pembangunan kerjaya, jaringan profesional dan persediaan menghadapi alam pekerjaan. – Ahmad Amsyar Abd Razak



