General

UUM anjur KIK-MADANI peringkat kebangsaan buat julung kalinya

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 6 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah apabila menganjurkan Karnival Inovasi Kokurikulum MADANI Kebangsaan 2026 (KIK-MADANI 2026) buat julung kalinya sebagai platform untuk memperkasa pembangunan sahsiah, kepimpinan, kreativiti dan inovasi dalam kalangan mahasiswa.

Program anjuran Pusat Kokurikulum UUM yang berlangsung di Padang Kawad UUM itu menghimpunkan pelbagai penyertaan serta aktiviti yang mengetengahkan peranan kokurikulum dalam melahirkan graduan holistik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Majlis perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dalam ucapannya, beliau berkata kokurikulum merupakan medium penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keterampilan, kemahiran insaniah dan jati diri yang kukuh.

Menurut beliau, penglibatan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti kokurikulum memberi peluang untuk meningkatkan potensi diri, membentuk disiplin serta mengembangkan bakat yang dapat dimanfaatkan pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa universiti tidak mahu mahasiswa hanya memberi tumpuan kepada pembelajaran di bilik kuliah semata-mata tanpa melibatkan diri dalam aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Katanya, dalam era yang sering menyaksikan generasi muda dikaitkan dengan penggunaan media sosial, mahasiswa UUM berjaya membuktikan bahawa mereka mampu bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti yang memberi nilai tambah kepada pembangunan diri.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa bangga melihat penyertaan pelajar dalam badan beruniform yang mencerminkan minat serta kecenderungan mereka terhadap aktiviti yang menekankan disiplin, semangat patriotisme dan kepimpinan.

“Penglibatan dalam badan beruniform bukan sahaja membentuk disiplin dan tanggungjawab, malah memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai peranan mereka sebagai warganegara yang prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad, berkata penganjuran KIK-MADANI 2026 merupakan platform penting dalam memperkasakan pendidikan kokurikulum yang menekankan pembangunan intelektual, kepimpinan, kreativiti, inovasi serta kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, program tersebut menjadi wadah untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki daya fikir kritis, inovatif dan berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

“Karnival ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengetengahkan idea, kreativiti dan inovasi melalui pelbagai aktiviti yang dirancang, sekali gus memperkukuh peranan kokurikulum sebagai pelengkap kepada pembelajaran formal di universiti,” katanya.

Menurutnya, penyertaan dalam program tersebut dapat menjadi pengalaman berharga kepada pelajar untuk menimba ilmu, membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memperluaskan jaringan persahabatan dan kerjasama di peringkat institusi dan kebangsaan.

Program yang berlangsung selama empat hari itu turut menampilkan pelbagai pameran, demonstrasi, pertandingan inovasi, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaktif daripada badan beruniform dan unit-unit kokurikulum, sekali gus membuktikan peranan kokurikulum sebagai platform penting dalam melahirkan graduan berdaya saing, berintegriti dan berjiwa MADANI.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button