Program Ikhlas Padawan dedah pelajar kepada operasi takaful keluarga
Berita dan gambar oleh: Dr. Aidanajwa Sabri
SINTOK, 5 Jun 2026: Program IKHLAS Padawan Modul 4 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM), dengan memberi tumpuan kepada tajuk Understanding Family Takaful Certificate & Family Takaful Operations.
Program ini merupakan kesinambungan daripada siri latihan IKHLAS Padawan yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia industri takaful, khususnya berkaitan sijil takaful keluarga, operasi takaful keluarga serta persediaan awal untuk memahami keperluan sebenar industri.

Sesi pada sebelah pagi dimulakan dengan ceramah daripada pihak Takaful IKHLAS. Melalui sesi tersebut, pelajar diberi penerangan mengenai konsep asas takaful keluarga, struktur sijil takaful, proses operasi serta kepentingan perlindungan kewangan berasaskan prinsip patuh syariah. Perkongsian ini turut membantu pelajar memahami peranan industri takaful dalam menyokong kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras Program School of Hard Knocks, serta Dr. Noraziah Che Arshad, Pensyarah di Islamic Business School (IBS), UUM. Program ini melibatkan penyertaan pelajar daripada IBS, khususnya pelajar kelas kendalian Dr. Noraziah.
Menurut Dr. Aidanajwa, program seumpama ini penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti dengan pihak industri, selain memberi nilai tambah kepada pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan sesi pelajar bersama mentor. Sesi ini memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat, mengemukakan soalan, berkongsi pandangan serta mendapatkan bimbingan berkaitan persediaan kerjaya dalam bidang takaful, kewangan dan perkhidmatan pelanggan.
Melalui pelaksanaan Modul 4 ini, para pelajar bukan sahaja memperoleh kefahaman teknikal mengenai sijil dan operasi takaful keluarga, malah turut didedahkan kepada nilai profesionalisme, komunikasi industri dan kepentingan sikap proaktif dalam membina kerjaya masa hadapan.
Program IKHLAS Padawan ini diharap dapat terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan UUM melalui kolaborasi berimpak tinggi antara universiti dan pihak industri.



