Campus

Alumni Sarjana Sains (Sains Koreksional) dedah realiti penyalahgunaan bahan dalam komuniti masa kini

Berita dan gambar oleh: Dr. Mohd Ahsani bin A.Malek

SINTOK, 10 Mei 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Bicara Alumni: Menangani Penyalahgunaan Bahan Dalam Komuniti Masa Kini yang berlangsung di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 6/11, UUM.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu penyalahgunaan bahan yang semakin membimbangkan serta cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dan agensi berkaitan dalam usaha menangani masalah tersebut.

Program ini menampilkan alumni Ijazah Sarjana Sains (Sains Koreksional) UUM, En. Mohd Syafieq Ismail, sebagai penceramah jemputan. Beliau yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Antidadah Kebangsaan Negeri Kedah berkongsi pengalaman profesional dalam mengendalikan kes-kes berkaitan penyalahgunaan bahan khususnya dalam konteks komuniti dan koreksional.

Dalam perkongsiannya, beliau menekankan bahawa isu penyalahgunaan bahan bukan lagi masalah individu semata-mata, sebaliknya telah menjadi cabaran sosial yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak termasuk keluarga, komuniti dan agensi berkaitan.

“Penyalahgunaan bahan bukan sekadar isu penagihan, tetapi melibatkan pelbagai faktor risiko seperti tekanan hidup, pengaruh persekitaran, konflik keluarga dan kekurangan sokongan sosial. Justeru, usaha pencegahan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan aktif komuniti,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan intervensi yang berkesan memerlukan keseimbangan antara penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan sokongan sosial bagi membantu individu yang terlibat kembali berfungsi dalam masyarakat.

“Masyarakat perlu melihat bekas penagih sebagai individu yang mempunyai potensi untuk berubah. Sokongan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan proses pemulihan mereka dapat diteruskan dengan lebih berkesan dan berkekalan,” tambah beliau.

Penganjuran program ini selaras dengan matlamat kursus Kaunseling Komuniti yang menekankan aspek pencegahan, pembangunan komuniti dan intervensi terhadap isu-isu sosial yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat. Selain meningkatkan kefahaman pelajar terhadap isu penyalahgunaan bahan, program ini turut menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan realiti amalan profesional di lapangan.

Di samping itu, program ini menjadi platform yang bermakna dalam mengukuhkan hubungan antara alumni dan universiti serta membuka ruang kepada perkongsian pengalaman kerjaya, cabaran profesion dan pembangunan jaringan profesional. Interaksi secara langsung antara alumni dan pelajar memberi inspirasi kepada bakal kaunselor untuk lebih memahami peranan mereka dalam membantu komuniti menangani pelbagai isu sosial yang semakin kompleks.

Program berakhir dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar, sekali gus membuktikan kepentingan pendedahan kepada pengalaman lapangan sebenar dalam melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran profesional,

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button