Campus

“Dari UUM ke dunia profesional” kupas realiti kerjaya dan kebolehpasaran graduan

Gambar oleh: Marina Hamzah

SINTOK, 7 Jun 2026: Mahasiswa perlu bersedia melakukan perubahan dari aspek sikap, pemikiran dan kemahiran bagi memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan kehendak dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan kompetitif.

Perkara tersebut antara intipati utama yang dikongsikan oleh Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, profesor di SBM merangkap Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam sesi podcast bertajuk “Dari UUM ke Dunia Profesional: Kisah dan Realiti” yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Seminar Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM.

Podcast yang dikendalikan oleh Azam Arni Mohd Noor sebagai moderator itu memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan gambaran sebenar mengenai cabaran, peluang dan persediaan yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dalam sesi tersebut, Prof. Dr. Chandrakantan menjelaskan bahawa keperluan untuk berubah sebelum memasuki dunia profesional bukanlah suatu mitos, sebaliknya merupakan satu realiti yang perlu dihadapi oleh setiap graduan.

Beliau turut berkongsi realiti semasa dunia pekerjaan yang kini dipengaruhi oleh perkembangan teknologi, pendigitalan dan perubahan keperluan industri yang menuntut graduan memiliki pelbagai kompetensi serta nilai tambah.

Mengulas mengenai persediaan yang perlu diberi penekanan oleh institusi pengajian tinggi dan mahasiswa, beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara universiti dan industri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.

Pada masa yang sama, mahasiswa perlu mengambil inisiatif untuk memperkasa diri melalui penyertaan dalam program pembangunan bakat, latihan industri, aktiviti kesukarelawanan dan program kepimpinan yang dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka.

Beliau turut berkongsi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh UUM melalui CUIC dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama industri bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar mendapatkan pengalaman dunia sebenar sebelum bergraduat.

Selain itu, SBM dengan kerjasama Career Development and Graduate Employability Centre (CDGEC) UUM turut menawarkan pelbagai program pembangunan kompetensi dan pensijilan profesional kepada mahasiswa.

Antaranya termasuk pensijilan Occupational Safety and Health Coordinator (OSH-C) yang memberi nilai tambah kepada graduan dalam meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran mereka di pasaran kerja. Sehubungan itu, mahasiswa disaran agar merebut dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh universiti bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran profesional dan kesiapsiagaan mereka sebelum memasuki dunia pekerjaan.

Menurutnya, pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan universiti termasuk program industri, latihan profesional, pensijilan kemahiran, program keusahawanan serta pelbagai aktiviti pembangunan kerjaya yang ditawarkan sepanjang tempoh pengajian.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil selaku penerbit sesi ini berkata, perkongsian yang disampaikan telah memberikan perspektif yang lebih jelas kepada mahasiswa mengenai realiti sebenar dunia pekerjaan.

Program tersebut diharapkan dapat membantu mahasiswa UUM membuat perancangan kerjaya yang lebih tersusun serta meningkatkan tahap kesediaan mereka untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa hadapan. – Azam Arni Mohd Noor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button