Pelajar UUM teroka peluang kerjaya di Northern Industrial Career Engagement (NICE) UNIMAP
Gambar oleh: Nur Farah Johari
KANGAR, 9 Jun 2026: Seramai 30 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri program Northern Industrial Career Engagement (NICE) yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Program yang menghimpunkan lebih 70 syarikat dan industri ini bertujuan membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka peluang kerjaya, latihan industri serta membina jaringan profesional bersama majikan daripada pelbagai sektor.
Penyertaan pelajar UUM dalam program ini merupakan salah satu inisiatif berterusan Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dalam memperkukuhkan aspek kebolehpasaran graduan melalui pendedahan awal kepada kehendak dan keperluan industri semasa.

Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan wakil syarikat, mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan dan latihan industri, serta memahami kemahiran yang diperlukan oleh majikan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
Selain itu, pelajar turut menghadiri sesi perkongsian kerjaya, konsultasi resume dan peluang temu duga yang disediakan oleh pihak penganjur. Penglibatan aktif pelajar dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan membuktikan komitmen mereka dalam meningkatkan kesiapsiagaan kerjaya sebelum menamatkan pengajian.
Menurut Pegawai Psikologi PPKKG, Nur Farah Johari penyertaan pelajar dalam program seperti NICE memberi peluang kepada mereka untuk memahami keperluan sebenar industri dan membina keyakinan diri dalam berinteraksi dengan bakal majikan.
“Program seperti ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka peluang kerjaya, malah membantu mereka meningkatkan kemahiran komunikasi, profesionalisme dan kesediaan menghadapi alam pekerjaan. Pendedahan secara langsung kepada industri amat penting dalam memastikan graduan UUM kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut berharap lebih ramai pelajar mengambil peluang untuk menyertai program-program kerjaya yang dianjurkan oleh PPKKG bagi memperluaskan jaringan profesional dan meningkatkan kebolehpasaran diri sebelum menamatkan pengajian.
Rata-rata pelajar yang menyertai program ini memberikan maklum balas positif dan menyifatkan NICE sebagai platform yang sangat bermanfaat untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai dunia pekerjaan serta membina keyakinan dalam merancang laluan kerjaya masing-masing.
PPKKG berharap penyertaan dalam program seumpama ini dapat terus memberi nilai tambah kepada pelajar UUM, seterusnya melahirkan graduan yang lebih kompetitif, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.



