PPKKG terus perkukuh kebolehpasaran graduan melalui Zurich Takaful Padawan 6.0
Berita oleh: Anis Zulaikha Kamal Gambar: Siti Fatimah Abdullah
ALOR SETAR, 9 Jun 2026: Kelas Modul Zurich Takaful Padawan 6.0 telah dilaksanakan di pejabat Zurich Takaful cawangan Alor Setar sebagai sebahagian daripada inisiatif Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) menerusi program School of Hard Knocks (SoHK).
Program ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai industri takaful, di samping meningkatkan pengetahuan, kemahiran profesional dan kebolehpasaran graduan melalui pengalaman pembelajaran berasaskan industri.

Sepanjang program, para pelajar mengadakan sesi pembentangan yang merangkumi pelbagai topik berkaitan takaful, termasuk jenis-jenis takaful, konsep asas takaful, pengurusan risiko, kepentingan perlindungan kewangan serta perkembangan industri takaful di Malaysia.
Sesi tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di bilik kuliah dalam suasana pembelajaran yang lebih praktikal dan profesional.

Selain itu, para peserta turut mengadakan pembentangan Dream Board masing-masing yang menggambarkan aspirasi, matlamat kerjaya dan perancangan masa depan yang ingin dicapai. Aktiviti ini memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi visi serta hala tuju kerjaya mereka, di samping menerima maklum balas dan galakan daripada wakil industri bagi membantu merealisasikan impian tersebut.

Program turut diserikan dengan sesi lawatan pejabat (office tour) yang membolehkan para pelajar melihat sendiri persekitaran kerja serta operasi harian di Zurich Takaful. Melalui lawatan ini, peserta memperoleh gambaran lebih jelas mengenai struktur organisasi, budaya kerja dan peranan setiap unit dalam industri takaful.
Bagi mengeratkan hubungan antara pihak industri dan pelajar, program diteruskan dengan sesi santai bersama pihak Zurich Takaful di Aman Central Bowling Centre. Aktiviti riadah tersebut bukan sahaja mewujudkan suasana yang lebih mesra dan santai, malah membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan para profesional industri serta mendapatkan perkongsian pengalaman berkaitan kerjaya dalam bidang takaful.
Penganjuran Kelas Modul Zurich Takaful Padawan 6.0 ini diharap dapat memberi manfaat kepada para pelajar dalam meningkatkan kefahaman mengenai industri takaful serta mempersiapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.



