IPIZ meriahkan program whealthcare 2026 & do-it fest 4.0 anjuran IBS UUM
Berita dan gambar oleh: Azim Hasyimi Abdul Rahman
CHANGLUN, 9 Jun 2026: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah berganding bahu menjayakan Program Whealthcare 2026 & Do-It Fest 4.0 yang berlangsung meriah di pekarangan Cmart Changlun, Kedah.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kesedaran sosial dan kesejahteraan masyarakat. Sebagai tanda sokongan terhadap usaha tersebut, IPIZ turut membuka reruai pameran bagi meningkatkan visibiliti institusi dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum, di samping memeriahkan lagi suasana program.

Program berskala besar ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Selamah Maamor, Penolong Naib Canselor, College of Business (COB), UUM. Beliau turut menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara pembukaan iaitu Do-It Fun Walk dan sesi senamrobik yang bermula seawal jam 7.30 pagi dengan penyertaan aktif pelajar UUM serta masyarakat setempat.
Sempena program tersebut, IPIZ telah menganjurkan Kuiz Literasi Zakat yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai konsep, kepentingan dan peranan zakat dalam pembangunan sosioekonomi ummah. Dengan sokongan Unit Imej dan Visibiliti IPIZ yang diketuai oleh Dr. Amirul Haqeem Abd. Ghani selaku Penyelaras IPIZ, reruai IPIZ berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang hadir sebagai rakan strategik IPIZ. Kehadiran LZNK menerusi kaunter bergeraknya memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan penerangan berkaitan zakat, khidmat konsultasi serta melaksanakan urusan zakat secara langsung sepanjang program berlangsung.
Turut memeriahkan program ialah penyertaan beberapa usahawan asnaf bimbingan LZNK yang mempamer dan menjual produk keluaran mereka kepada para pengunjung. Penglibatan usahawan asnaf ini mencerminkan kejayaan inisiatif pemerkasaan ekonomi yang dilaksanakan oleh LZNK dalam membantu meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kemandirian ekonomi golongan asnaf.

Sinergi program ini turut diperkasakan melalui penglibatan aktif pelajar UUM yang mengendalikan pelbagai projek dan aktiviti Literasi Kewangan sepanjang hari. Selain pameran reruai dan acara Fun Walk, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang menawarkan hadiah menarik.
Antaranya ialah aktiviti Financial Trivia yang menguji pengetahuan peserta berkaitan pengurusan kewangan dan literasi kewangan. Program turut diserikan dengan persembahan khas daripada penyanyi jemputan, Daqmie.

Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Abdul Halim bin Abdul Majid, Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), UUM. Acara diteruskan dengan sesi cabutan bertuah serta penyampaian cenderahati kepada para pempamer dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
IPIZ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan peluang yang diberikan untuk turut serta menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana manfaatnya yang besar dalam memperkukuh hubungan antara universiti, agensi berkaitan dan masyarakat setempat.



