Campus

Demam Piala Dunia Melanda UUM: TISSAN Warrior Rangkul Kejuaraan Edisi Pertama Piala Dekan TISSA-UUM 2026

Berita dan gambar oleh Muhammad Muadz Madzlan

SINTOK, 9 Jun 2026 – Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Dekan TISSA-UUM 2026 buat julung kalinya di Kompleks Sukan UUM.

Program ini bertujuan memupuk semangat kesukanan, kerja berpasukan, persaingan sihat dan perpaduan dalam kalangan komuniti TISSA-UUM serta Kolej Perniagaan (COB), di samping mempromosikan program akademik yang ditawarkan.

Empat pasukan telah bersaing untuk merebut gelaran juara, iaitu Golden Stars, EREG, Team Two dan pasukan jemputan khas, TISSAN Warrior. Antara keunikan kejohanan ini ialah penggunaan aplikasi “Versus”. Dibangunkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) TISSA-UUM, aplikasi tersebut menyediakan data dan statistik terkini berkaitan jadual perlawanan, kedudukan pasukan serta keputusan pertandingan.

Menerusi format liga sepusingan yang kompetitif, perlawanan akhir menyaksikan persaingan sengit apabila TISSAN Warrior mencatat kemenangan tipis 1–0 ke atas EREG untuk merangkul kejuaraan.

Jaringan kemenangan dihasilkan oleh Mohamad Anas Jaafar hasil hantaran Muhammad Muadz Madzlan yang masuk menggantikan Mohamad Azlan Nik Ismail.

 

Penjaga gol, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit, mempamerkan aksi cemerlang untuk mengekalkan rekod tanpa bolos, manakala kapten pasukan, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, berjaya membakar semangat rakan sepasukan agar kekal tenang di bawah tekanan. Terdahulu, Team Two menewaskan Golden Stars 3–2 untuk menduduki tempat ketiga.

Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, diiringi Siti Hajar Aziz, menyempurnakan majlis penutup dengan menyampaikan pingat kepada para pemenang serta memuji komitmen peserta terhadap amalan gaya hidup sihat dan semangat perpaduan.

Pengarah Program, Dr. Mohd Hadafi Sahdan, “Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kerana berjaya menghimpunkan begitu ramai pemain dan mewujudkan persekitaran yang menyeronokkan, di mana semua orang dapat bermain dengan gembira, saling menghormati dan menjunjung tinggi semangat kesukanan.

Kejohanan ini berakhir dengan jayanya dan kami amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pertandingan yang sangat berharga serta bermakna ini.”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button