General

Sokongan Padu Ahli LPU: Dato’ Muhamad Khizri santuni peserta BIG 2026 UUM

UUM Berita dan gambar oleh: AJK Multimedia, Dokumentasi dan Publisiti, Bina Insan Guru 2026

SIK, 8 Jun 2026 – Penganjuran Program Bina Insan Guru (BIG) 2026 Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mendapat pengiktirafan apabila diserikan dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), YBhg. Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim yang meluangkan masa menyantuni para peserta program di sini baru-baru ini.

Kehadiran beliau bukan sahaja menterjemahkan sokongan padu pihak pengurusan tertinggi UUM terhadap agenda pembangunan profesionalisme bakal guru, malah menjadi platform penting untuk menyampaikan amanat serta berkongsi strategi dalam mendepani realiti pasaran kerjaya pendidikan masa kini.

Dalam sesi ramah mesra dan perkongsian bersama bakal pendidik, Dato’ Muhamad Khizri secara terbuka mengulas mengenai cabaran pasaran terbuka (open market) yang sedang dihadapi oleh graduan bidang pendidikan di peringkat nasional.

Menyedari persaingan sengit untuk mendapatkan penempatan di sekolah-sekolah kerajaan, beliau memberi jaminan bahawa pihak kepimpinan universiti sentiasa komited dan proaktif dalam merangka pelbagai usaha bagi memastikan setiap graduan pendidikan keluaran UUM mampu diserap ke dalam sektor pekerjaan dengan jayanya.

“Pihak LPU dan pengurusan tertinggi universiti sentiasa berusaha di belakang tabir untuk membuka ruang, meluaskan jaringan kolaborasi dan mengetengahkan kebolehpasaran graduan pendidikan UUM kepada pihak-pihak berkepentingan”, katanya.

Beliau juga mengatakan, usaha berterusan ini dilakukan demi memastikan bakat serta ilmu yang diperoleh para pelajar sepanjang pengajian di sini dapat dimanfaatkan sepenuhnya di lapangan, seterusnya merealisasikan impian mereka untuk bergelar pendidik yang profesional.

Di samping berkongsi usaha universiti, Dato’ Muhamad Khizri turut menitipkan pesanan agar para peserta BIG 2026 tidak sekadar bergantung pada kelulusan akademik semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah (soft skills) yang berkualiti dan relevan bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

Sesi santunan yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah itu nyata memberikan impak yang mendalam serta melegakan para peserta, sekali gus membuktikan bahawa kebajikan dan hala tuju masa depan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan kepimpinan LPU UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button