General

Mustika Sintok mara ke peringkat akhir sayembara pesta pantun negeri Kedah 2026

Berita dan gambar oleh: Akmal Ahlami Md Rozai

ALOR SETAR, 3 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir dan Ikhtisas) PERPATI telah menyertai Program Sayembara Pesta Pantun Peringkat Negeri Kedah 2026 Peringkat Saringan yang bertemakan “Kedah Jelapang Padi, Pesona Abadi” sempena Program Semarakkan Bahasa Kebangsaan anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Pasukan PERPATI UUM yang membawa nama Mustika Sintok dianggotai oleh Tuan Haji Mohd Fairus Abd Majid dari UUM Press, Encik M. Shahadat Ali Nordin dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Puan Azam Arni Mohd Noor dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Cik Rozita Ramli dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), manakala Encik Akmal Ahlami Md Rozai dari Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) bertindak selaku Pengurus Pasukan.

Dalam pusingan saringan tersebut, Mustika Sintok telah berdepan dengan pasukan Citrabahasa dari Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dalam pertandingan yang berlangsung sengit dan penuh dengan keindahan seni berbahasa.

Berbekalkan persembahan pantun yang mantap, berisi serta menepati tema pertandingan, Mustika Sintok berjaya menewaskan pasukan lawan sekali gus melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan. Kejayaan pasukan turut diserikan apabila Encik M. Shahadat bin Ali Nordin dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik bagi pusingan tersebut.

Sebanyak 10 pasukan yang mewakili pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di negeri Kedah telah mengambil bahagian dalam peringkat saringan ini. Hanya empat pasukan terbaik berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada 15 Jun 2026.

Presiden PERPATI UUM, Kartini Tajul Urus, ketika mengulas kejayaan tersebut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan Mustika Sintok atas komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan sepanjang persediaan dan pertandingan.

Beliau berharap pencapaian ini dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan warga UUM dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa perpaduan, selain memperkukuhkan penglibatan warga universiti dalam program-program yang menyokong agenda kebangsaan berkaitan pemerkasaan bahasa dan warisan budaya.

Sementara itu, M. Shahadat bin Ali Nordin yang mewakili pasukan Mustika Sintok menyatakan bahawa kejayaan pada peringkat saringan merupakan hasil kerjasama erat dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahli pasukan.

Beliau menegaskan bahawa pasukan akan terus memperkemaskan persediaan serta meningkatkan mutu persembahan bagi menghadapi cabaran di peringkat akhir nanti. Menurut beliau, seluruh pasukan bertekad untuk memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama UUM dan PERPATI serta membuktikan bahawa warga universiti turut mampu menyerlah dalam bidang kesusasteraan dan seni budaya.

Kejayaan Mustika Sintok bukan sahaja membuktikan keupayaan warga UUM dalam mengangkat seni pantun sebagai warisan bangsa, malah turut mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong usaha pemeliharaan dan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi identiti negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button