Bengkel Persijilan SKM PPT oleh Pengurusan TVET UUM Jana lebih RM220,000.00, dilancarkan oleh Naib Canselor UUM
Berita dan gambar oleh: Siti Maisara Mohd. Rozainee
KUALA LUMPUR, 12 Jun 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, telah melancarkan Program Persijilan Kemahiran Malaysia secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM PPT) anjuran Pengurusan TVET UUM dengan kerjasama Persatuan Pekerja-Pekerja Kemahiran Malaysia (PPKM), hari ini.

Program yang telah dilaksanakan melalui kohort pertama dan kedua itu berjaya menjana pendapatan melebihi RM220,000. Susulan sambutan menggalakkan serta permintaan daripada pihak PPKM, kerjasama tersebut akan diteruskan menerusi pelaksanaan kohort-kohort berikutnya.
Setakat ini, Program SKM PPT telah melibatkan seramai 11 peserta bagi kohort pertama dan 31 peserta bagi kohort kedua, merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, Tahap 3 dan Tahap 4.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Pengurusan TVET UUM, Prof. Madya Ts. Dr. Haji Shanusi Ahmad; En. Kamal Khalid; Dr. Norwahida Yaakub; Siti Anum Jab; Fazilah Othman; dan Siti Maisara Mohd. Rozainee mewakili Pengurusan TVET UUM. Pihak PPKM pula diwakili oleh En. Md. Zubir Saad bersama pasukannya.
Bengkel tersebut berlangsung di Bilik Seminar Aras G, Menara 1, UUM Kuala Lumpur dan dikendalikan oleh Ts. Dr. Rosman Bahri serta Ts. En. Ahmad Kamal.
Persijilan Kemahiran Malaysia merupakan satu bentuk pengiktirafan yang menyokong pembangunan kerjaya peserta berasaskan kemahiran, sekali gus menyahut aspirasi Dasar TVET Negara.



