NutriSparkCurricula Raih Pingat Emas dan Anugerah Poster Terbaik di UniMAP FutureX 2026
Gambar oleh: Afifah Jazilah Arjunaidi
KANGAR, 11 Jun 2026: Tahniah diucapkan kepada Afifah Jazilah Binti Arjunaidi, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dan Pembantu Penyelidik Siswazah (GRA) di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Nurulwahida Azid @ Aziz (penyelia utama) dan Prof. Madya Dr. Mohammad Noor Abdul Aziz, atas kejayaan cemerlang merangkul Pingat Emas (Gold Medal) serta Anugerah Poster Terbaik (Kategori Sains Sosial) berserta wang tunai RM200 dalam pertandingan inovasi UniMAP FutureX (Young Future Leader) 2026.
Kejayaan ini dicapai menerusi projek inovasi bertajuk NutriSparkCurricula, yang dibangunkan hasil penyelidikan di bawah Geran Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) yang juga terdiri daripada dua ahli lain iaitu Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat (SCIMPA) dan Prof. Dr. Wan Rosli Wan Ishak @ Wan Ahmad dari Universiti Sains Malaysia.

Projek tersebut berjaya menarik perhatian panel juri kerana pendekatannya yang inovatif dalam mengintegrasikan simulasi animasi digital dan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) bagi meningkatkan kesedaran serta amalan pemakanan sihat dalam kalangan pelajar yang mengalami masalah obesiti dan bantut.
Keunikan NutriSparkCurricula terletak pada penggunaan elemen gamifikasi pemakanan yang dibangunkan berdasarkan profil makanan kegemaran yang dipilih sendiri oleh 237 orang pelajar obesiti dan 89 orang pelajar bantut.
Melalui kurikulum digital interaktif ini, pelajar dapat memahami kandungan kalori makanan, nilai nutrisi serta fungsi nutrien terhadap organ-organ tubuh badan melalui simulasi dan animasi digital yang menarik serta mudah difahami.
Pendekatan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan pelajar dalam pembelajaran pemakanan sihat, malah membantu mereka membuat pilihan makanan yang lebih baik berdasarkan pengetahuan saintifik yang tepat. Hasilnya, NutriSparkCurricula dilihat berpotensi menjadi platform pendidikan kesihatan yang efektif bagi menangani isu pemakanan dalam kalangan generasi muda.

Penyelidikan ini merupakan usaha kolaboratif yang melibatkan pakar daripada pelbagai bidang termasuk Kurikulum dan Pengajaran, Industri Kreatif dan Food Quality dan Analysis.
Projek ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, serta ahli akademik dalam bidang sains pemakanan daripada School of Tourism, Hospitality and Event Management, Universiti Utara Malaysia.

Kejayaan ini membuktikan bahawa integrasi teknologi digital, reka bentuk kurikulum inovatif dan kepakaran pelbagai disiplin mampu menghasilkan penyelesaian pendidikan yang berimpak tinggi dalam menangani cabaran kesihatan masyarakat, khususnya isu obesiti dan bantut dalam kalangan pelajar.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak inovasi pendidikan berasaskan penyelidikan yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat. – Prof Madya Dr Nurulwahida Azid



