UUMKL perkukuh budaya keselamatan dan pengurusan risiko melalui bengkel HIRARC dan audit tempat kerja
Berita dan gambar: Dr Norwahida Yaakub
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Komitmen Universiti Utara Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (UUMKL) dalam memperkukuh budaya keselamatan dan pengurusan risiko terus diperkasakan menerusi Bengkel Pengurusan Risiko, Pengenalan Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) dan Audit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) telah dilaksanakan pada 14 hingga 15 Jun 2026.
Program yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia itu menghimpunkan staf UUMKL dan OYAGSB Kuala Lumpur bagi meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan serta kompetensi berkaitan pengurusan risiko dan KKP.

Bengkel dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman selaku Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko. Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta didedahkan kepada amalan terbaik pengurusan risiko melalui sesi perkongsian yang disampaikan oleh Dr. Zairol Azhar Auzzir, manakala penerangan berkaitan pelaksanaan HIRARC disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly, dengan bantuan Puan Nur Azimah Abdul Rahman.
Penganjuran bengkel ini menjadi platform penting dalam meningkatkan kefahaman serta memperkukuh budaya pengurusan risiko dalam organisasi.
Program kemudiannya diteruskan dengan audit dan pemeriksaan tempat kerja yang meliputi aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) serta pengurusan risiko bagi menilai tahap pematuhan, mengenal pasti peluang penambahbaikan dan memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat, kondusif serta berdaya tahan untuk seluruh warga UUMKL dan OYAGSB Kuala Lumpur.

Bagi sesi audit yang dijalankan, pihak UUMKL diketuai oleh Ahmad Mujahid Abd. Ghani bersama En. Hisaruddin Ahmat selaku Penyelaras Risiko, Dr. Norwahida sebagai Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) serta dibantu oleh En. Fadzli Rasol, Maintenance Officer.
Audit yang dilaksanakan oleh Bahagian Pengurusan Risiko UUM itu meliputi pemeriksaan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan kemudahan, kawalan risiko operasi serta pematuhan terhadap prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.
Hasil pemerhatian mendapati tahap pematuhan serta kesedaran warga kerja terhadap amalan keselamatan dan pengurusan risiko berada pada tahap yang baik, sekali gus membuktikan komitmen berterusan UUMKL dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan selaras dengan amalan tadbir urus terbaik universiti.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UUMKL dalam memperkukuh budaya pengurusan risiko serta memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa diberi perhatian di peringkat organisasi.



