Campus

UUM dan KWSP perkukuh kebolehpasaran graduan melalui program KWSP padawan School of Hard Knocks

Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal

SINTOK, 16 Jun 2026: Seramai 95 pelajar diraikan dalam Majlis Graduasi KWSP Padawan di bawah program School of Hard Knocks (SoHK), anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah itu bertujuan menghargai komitmen dan pencapaian pelajar yang berjaya menamatkan program pembangunan bakat yang memberi pendedahan kepada dunia pekerjaan, meningkatkan kemahiran profesional serta memperkukuhkan tahap kebolehpasaran graduan menerusi pengalaman pembelajaran berasaskan industri.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Muzamil Mahmud, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), yang menzahirkan penghargaan kepada KWSP atas komitmen berterusan dalam membantu membangunkan modal insan dan menyediakan platform pembelajaran berasaskan industri kepada mahasiswa. Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan industri merupakan elemen penting dalam memastikan graduan bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kompetensi, keyakinan diri dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan pada masa kini.

Program turut menampilkan forum bertajuk “Dari Padawan ke Profesional: Membina Keyakinan, Kompetensi dan Kesediaan Industri” yang memberi perkongsian mengenai realiti dunia pekerjaan, cabaran peralihan daripada alam kampus ke alam profesional serta kemahiran yang perlu dikuasai bagi meningkatkan daya saing graduan.

Forum tersebut menampilkan Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin dan Ketua Pegawai Sumber Manusia KWSP, Iwan Azlan Mokhtar sebagai panel jemputan, manakala Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah bertindak sebagai moderator. Para panel turut berkongsi pengalaman kepimpinan, pandangan mengenai keperluan industri semasa serta kepentingan sikap proaktif, pembelajaran sepanjang hayat dan kebolehsuaian dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang semakin dinamik.

Selain penyampaian sijil penyertaan kepada semua padawan, majlis turut menyaksikan pengiktirafan Anugerah Kumpulan Terbaik (Pitching). Hadiah wang tunai berjumlah RM150, RM100 dan RM50 masing-masing diberikan kepada kumpulan tempat pertama, kedua dan ketiga sebagai penghargaan terhadap kreativiti, kerjasama serta kualiti pembentangan yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung.

Penyampaian hadiah dan sijil telah disempurnakan oleh Sazaliza Zainuddin dengan diiringi oleh Iwan Azlan Mokhtar, Jeffary Haji Mohamed Isa, Pengarah Wilayah Utara dan Dr. Fikriyah Abdullah.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras SoHK; Dr. Mohamad Yazid Isa, Pengarah Dana Sosial Takaful (STF); serta Norliza Dasahi, pensyarah SEFB. Manakala wakil daripada KWSP iaitu Md Sabri Hamid, Ketua Cawangan KWSP Alor Setar; Rozanah Abdul Rahim, Pengurus Kanan KWSP Wilayah Utara bersama sepuluh wakil KWSP.

Program diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai simbolik kejayaan serta kenangan buat para peserta yang telah berjaya menamatkan program KWSP Padawan di bawah inisiatif SoHK, sekali gus memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan industri dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button