DUA JUDUL BUKU UUM PRESS TERPILIH DALAM PROJEK BAHAN BACAAN TAMBAHAN PRASEKOLAH KPM
Berita oleh: Mohd Fairus Abd Majid
Gambar oleh: Zuraizee Bin Zulkifli
UUM ONLINE: Sintok, 29 Oktober 2026 – Dua judul buku terbitan Penerbit Universiti Utara Malaysia (UUM Press), iaitu Momo Si Mentadak yang mengetengahkan nilai Berdikari dan Pipa Si Pepatung yang membawa nilai Baik Hati, telah terpilih dalam Projek Bahan Bacaan Tambahan (BBT) Prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), melalui kerjasama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Buku ini ditulis oleh Dr. Nor Fauzian Kassim pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia.

Pemilihan kedua-dua judul ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha UUM Press dalam menghasilkan bahan bacaan kanak-kanak yang bukan sahaja menarik dan bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak prasekolah, malah turut menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Buku Momo Si Mentadak memberi penekanan kepada nilai berdikari melalui penceritaan yang menggalakkan kanak-kanak membina keyakinan diri, berusaha sendiri dan belajar melaksanakan tanggungjawab mengikut kemampuan mereka.
Sementara itu, Pipa Si Pepatung mengetengahkan nilai baik hati dengan menerapkan kepentingan sikap prihatin, saling membantu, menyayangi dan mengambil berat terhadap orang lain.
Penglibatan UUM Press dalam projek ini melalui kerjasama ITBM turut membuka peluang kepada karya terbitan universiti untuk dimanfaatkan dengan lebih meluas dalam ekosistem pendidikan awal kanak-kanak, khususnya sebagai bahan sokongan pembelajaran di prasekolah.

Penyertaan ini mencerminkan komitmen UUM Press untuk terus memperluas bidang penerbitan, bukan sahaja dalam kategori buku akademik dan ilmiah, tetapi juga penerbitan kreatif yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan, pembentukan sahsiah dan penerapan nilai murni dalam kalangan generasi muda.
UUM Press berharap kerjasama ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penghasilan karya berkualiti untuk kanak-kanak serta memperkukuh sumbangan universiti dalam menyokong agenda pendidikan negara.
Hadir dalam perbincangan, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim, Pengarah UUM Press, En Sakri Abdullah, Pengurus Besar Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), pegawai-pegawai UUM Press dan ITBM.

