General

DELEGASI PRINCE OF SONGKLA UNIVERSITY MELAWAT PUSAT PENGAJIAN KERAJAAN UUM BAGI MEMPERKUKUH HUBUNGAN AKADEMIK SERANTAU

Berita dan gambar oleh: Mohd Mahadi Bin Mohd Razani

SINTOK, 2 November 2026 — Dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama pendidikan merentas sempadan dan memupuk pertukaran ilmu, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan akademik rasmi daripada delegasi Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang, Thailand.

Delegasi berkenaan dianggotai seramai 31 orang peserta, merangkumi empat orang pensyarah dan 27 orang pelajar Public Management Program dari Faculty of Commerce and Management, PSU, yang diketuai oleh Dr. Watcharawin Kamkiew.

Kunjungan tersebut dimulakan di Anjung Tamu UUM menerusi sesi penerangan ringkas berkenaan sejarah dan pencapaian universiti, sebelum rombongan dibawa melawat sekitar bangunan SOG. Delegasi seterusnya menghadiri sesi taklimat rasmi di Bilik Mesyuarat Utama SOG yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOG, Prof. Madya Dr. Muslimin Wallang.

Dalam ucapan alu-aluannya, Prof. Madya Dr. Muslimin Wallang menyifatkan lawatan ini sebagai platform strategik bagi memperluaskan inisiatif akademik secara bersama, mempelbagaikan jaringan penyelidikan dan pengajaran, meneroka potensi perkongsian penyelidikan jangka panjang, serta merancang pelbagai aktiviti pelajar termasuk program mobiliti berkredit dan tidak berkredit.

Selain sesi perkongsian pengetahuan dan dialog akademik, delegasi PSU turut berpeluang menyertai Program Syarahan Ketua Hakim Negara. Ketua rombongan PSU, Dr. Watcharawin Kamkiew, menzahirkan rasa terharu serta penghargaan atas jemputan tersebut dan menyifatkan input yang diperoleh daripada syarahan berkenaan amat bernilai buat tenaga pengajar serta pelajar PSU.

Lawatan kerjasama ini diakhiri dengan pengesahan komitmen bersama antara Prince of Songkla  University dan Pusat Pengajian Kerajaan untuk terus menjalin hubungan institusi yang lebih erat serta memupuk kerjasama akademik merentas sempadan pada masa akan datang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button