General

PROJEK PENANAMAN POKOK DAN KESIHATAN MINDA RMC HIJAUKAN PERSEKITARAN KERJA

Gambar oleh: Rusna binti Abdul Rashid

SINTOK, 9 November 2026 – Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UUM telah menganjurkan Projek Penanaman Pokok dan Kesihatan Minda RMC sebagai salah satu inisiatif untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih hijau, ceria dan kondusif, di samping menyokong kesejahteraan serta kesihatan minda warga kerja.

Program anjuran Jawatankuasa EKSA dan Pentadbiran RMC ini melibatkan penyertaan semua staf RMC yang bersama-sama menjayakan aktiviti penanaman serta penyusunan pokok di sekitar koridor pejabat RMC.

Sebanyak lebih 30 pasu pokok telah disediakan dan ditanam menerusi inisiatif ini. Menariknya, sebahagian pokok dan pasu disediakan oleh pihak RMC, manakala sebahagian lagi dibawa sendiri oleh staf sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap usaha menghijaukan persekitaran tempat kerja.

Turut menjadi tarikan ialah penyediaan kolam ikan yang melengkapkan suasana persekitaran pejabat agar lebih menarik dan menenangkan.

Selain menceriakan ruang pejabat, aktiviti ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kerja berpasukan serta mewujudkan suasana kerja yang lebih positif dalam kalangan warga RMC.

Kehadiran elemen kehijauan dan kolam ikan diharap dapat mewujudkan ruang kerja yang lebih santai serta memberi kesan positif kepada kesejahteraan minda warga kerja.

Inisiatif ini diharapkan dapat memberi manfaat berterusan kepada warga RMC, selaras dengan usaha membudayakan persekitaran kerja yang sihat, harmoni dan lestari.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button