General

32 TAHUN MENABUR BAKTI, LEBIH 100 BUAH BUKU JADI LEGASI PROF. MADYA DR. LIM KONG TEONG DI STML UUM

Gambar oleh: Nasirruddin Bin Abdul Jalil

SINTOK, 5 November 2026 – Setelah menabur bakti selama 32 tahun 7 bulan 10 hari sejak mula berkhidmat pada 27 Mac 1994, Prof. Madya Dr. Lim Kong Teong, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), secara rasminya menamatkan perkhidmatan beliau pada 5 November 2026.

Dalam Majlis Clock Out yang diadakan bagi meraikan persaraan beliau, Dekan STML, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim, merakamkan penghargaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di UUM.

Menurut beliau, Prof. Madya Dr. Lim Kong Teong bukan sahaja banyak menyumbang dalam bidang akademik, penyelidikan dan perundingan, malah turut berkongsi ilmu melalui sumbangan lebih 100 buah buku kepada rakan-rakan pensyarah dan pelajar.

“Sumbangan ini pastinya memberi manfaat kepada warga STML serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan komuniti akademik. Kami amat menghargai segala sumbangan beliau dan berharap hubungan silaturahim yang terjalin akan terus berkekalan,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Lim Kong Teong menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan, rakan-rakan pensyarah dan staf pentadbiran atas sokongan, kerjasama serta persahabatan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Beliau turut menyifatkan majlis tersebut sebagai kenangan manis dan amat bermakna selepas lebih tiga dekad berkhidmat di UUM.

“Saya amat menghargai kesudian pihak STML menganjurkan majlis ini. Terima kasih atas segala sokongan, kerjasama dan persahabatan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di sini. Saya berharap hubungan silaturahim ini akan terus berkekalan,” katanya.

Persaraan beliau bukanlah noktah kepada sumbangan dan perkongsian ilmu, sebaliknya menjadi permulaan kepada fasa kehidupan baharu dengan legasi pengalaman, kepakaran dan ilmu yang akan terus dikenang oleh warga STML.

Seluruh warga STML merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Lim Kong Teong atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan. Selamat bersara dan semoga terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan serta kesejahteraan dalam kehidupan mendatang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button