Bengkel EKSA berimpak mantapkan kompetensi juruaudit dalaman
Gambar Iffah Zarreen Ahmad Subri
SINTOK, 22 April 2026: Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan budaya kualiti organisasi melalui penganjuran Bengkel Kompetensi Juruaudit Berkualiti, EKSA Berimpak yang berlangsung di EDC-UUM dengan penglibatan seramai 78 staf merentas pelbagai pusat tanggungjawab.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Akreditasi Antarabangsa, PPQA, Prof. Dr. Natrah Saad yang menegaskan bahawa pengupayaan juruaudit dalaman merupakan elemen strategik dalam memastikan kelestarian pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di UUM.

Menurutnya, juruaudit yang kompeten dan berintegriti bukan sahaja berperanan sebagai pemantau pematuhan standard, malah bertindak sebagai pemangkin transformasi ke arah tadbir urus universiti yang lebih cekap, sistematik dan berimpak tinggi.
Bengkel ini merupakan inisiatif strategik PPQA dalam memperkasakan kesiapsiagaan universiti menghadapi Audit Dalaman EKSA UUM bagi tahun 2026, di samping penerapan EKSA bukan sahaja memperkukuhkan suasana kerja yang kondusif dan sistematik, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui amalan hijau, pengurusan sumber secara berhemah, serta pengurangan pembaziran selari dengan komitmen UUM terhadap SDG.
Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pengukuhan kriteria audit dalaman EKSA, pemantapan etika dan integriti juruaudit, serta pelaksanaan simulasi audit secara hands-on yang menekankan aplikasi sebenar di lapangan.
Bengkel ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan berpengalaman iaitu Timbalan Pengarah Operasi, ADTEC JTM Kampus Jitra, Ts. Raja Muhammed Raja Daud yang berkongsi kepakaran serta amalan terbaik dalam pelaksanaan EKSA dan pengauditan berkualiti, selaras dengan keperluan pensijilan semasa.

Selain itu, bengkel ini diperkaya dengan sesi taklimat khas oleh Jawatankuasa Audit daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS). Sesi ini memberi nilai tambah melalui perkongsian perspektif akademik serta amalan audit yang lebih analitikal dan berasaskan data dalam mempertingkatkan keberkesanan penilaian EKSA di peringkat universiti.
Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai platform berimpak tinggi dalam membina barisan juruaudit dalaman yang kompeten, berdaya saing dan berintegriti, seterusnya memperkukuh pelaksanaan EKSA secara menyeluruh di UUM ke arah merealisasikan visi sebagai universiti pengurusan terkemuka.
Kompetensi juruaudit yang diperkasa melalui bengkel ini akan memastikan keberkesanan pelaksanaan EKSA di seluruh jabatan, seterusnya menyokong KPI universiti dalam aspek kecemerlangan pengurusan, keberkesanan operasi dan reputasi antarabangsa. – Mohamad Hapisol Othman



