Bengkel Seni Lakon Kelab Teater Warna hidupkan semangat teater dalam kalangan generasi muda
Gambar Nur Liyana Batrisyia
SINTOK, 23 APRIL 2026: Kelab Teater Warna dengan jayanya menganjurkan Bengkel Seni Lakon bertempat di Dewan Budi Siswa, Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), kelmarin.
Bengkel yang memberi tumpuan kepada asas seni lakon itu dipimpin oleh Pengarah Teater dan Penulis Skrip Drama Pentas, Joe Kas yang aktif berkecimpung dalam industri teater tanah air.
Bengkel ini turut menyaksikan penyertaan pelajar dari luar universiti iaitu pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok yang memperluaskan manfaat bengkel ini kepada golongan pelajar yang lebih muda dan memupuk minat mereka terhadap seni persembahan pentas sejak awal.
Melalui bengkel ini, peserta berpeluang mempelajari teknik-teknik asas dalam seni lakon termasuk ekspresi wajah, intonasi serta penzahiran emosi mengikut watak.

Joe Kas turut berkongsi pengalaman dan ilmu beliau yang luas dalam bidang pengarahan, lakonan dan penulisan skrip bagi memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada peserta dan pendekatan pengajaran Joe Kas yang bersifat informal dan praktikal.
Beliau tidak menggunakan kaedah syarahan semata-mata, sebaliknya menggalakkan peserta untuk belajar melalui pengalaman langsung dengan melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang disediakan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bengkel ialah latihan artikulasi bagi membantu peserta menyebut perkataan dengan jelas dan tepat, latihan vokal untuk mengawal kekuatan dan kelancaran suara serta latihan intonasi bagi memastikan penyampaian dialog terdengar berkesan.
Selain itu, peserta turut terlibat dalam aktiviti lakon tubuh, iaitu satu teknik unik yang menggunakan tubuh sebagai objek di pentas mendorong peserta berfikir secara kreatif tentang pergerakan dan ekspresi fizikal dalam persembahan. Pendekatan sebegini bukan sahaja menjadikan sesi bengkel lebih hidup dan interaktif malah membolehkan peserta memahami dan menghayati seni lakon dengan lebih mendalam berbanding pembelajaran secara teori semata-mata.
Joe Kas berkata, kualiti sesebuah persembahan teater bermula daripada skrip itu sendiri.

Katanya, penghasilan sebuah teater yang baik, skrip perlulah berkualiti dengan mempunyai tema serta pemikiran yang ingin disampaikan.
Beliau turut menegaskan bahawa sastera dan teater merupakan dua elemen yang saling berkait dan bersama-sama membentuk sebuah persembahan yang lengkap. Justeru, kepentingan amalan budaya membaca adalah penting bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang persembahan pentas.
Kebanjiran naskhah yang bersifat seperti “drama-tv” merupakan punca kepada masyarakat untuk memandang remeh terhadap persembahan teater walhal sejak dahulu kala lagi teater merupakan medium yang bukan digunakan hanya untuk hiburan semata-mata, malah ia turut digunakan untuk menyampaikan pesan moral dan kritikan sosial yang berlaku dalam anggota masyarakat.
Bengkel ini diharap dapat memupuk minat pelajar terhadap seni persembahan sekaligus melahirkan lebih ramai pelakon dan pencinta seni persembahan yang bukan sahaja berbakat, malah turut berpengetahuan luas dalam bidang teater dan seni lakon. – Aissah Zulaikha



