IBS hargai dedikasi dan rai kejayaan pencapaian KPI 2024
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
SINTOK, 11 Mac 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Majlis Apresiasi IBS 2024 di Bilik Kedah, UUM COB, baru-baru ini.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, majlis tersebut sebagai menghargai pencapaian serta sumbangan warga IBS sepanjang 2024 terutamanya bagi pencapaian indeks prestasi utama (KPI) pusat pengajian.
IBS telah dinobatkan antara pusat pengajian yang tersenarai lima tertinggi dalam pencapaian KPI bagi tahun lalu.
Majlis yang berlangsung penuh meriah ini melibatkan 56 kategori penghargaan dengan 42 penerima anugerah yang terdiri daripada staf akademik dan bukan akademik.
Penghargaan diberikan dalam pelbagai kategori termasuk penyelidikan, penerbitan, penyeliaan, komitmen, program SULAM, pembangunan pelajar, latihan dan bengkel COE serta prestasi terbaik sepanjang tahun 2024.
Dr. Selamah berkata, kejayaan IBS adalah hasil usaha dan komitmen semua warga IBS.
“Anugerah dan token yang diberikan tidak ternilai dengan kerja keras semua staf yang tanpa lelah menyumbang tenaga, masa, wang ringgit dan kepakaran yang ada untuk kejayaan IBS,” katanya.
Majlis Apresiasi IBS 2025 bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan individu tetapi juga menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan kecemerlangan akademik dan profesionalisme di IBS pada masa akan datang.
Semoga dengan majlis apresiasi ini dapat menjadi motivasi kepada warga staf IBS lain untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah dan tanggunjawab. – Siti Rasyidah Hassan