Integriti benteng utama bendung rasuah di IPT – Pengarah SPRM Kedah
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 19 Mei 2026: Pembudayaan integriti dalam kalangan pelajar dan warga institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diperkukuhkan secara menyeluruh bagi memastikan jenayah rasuah dapat dibendung sejak di peringkat awal pembentukan generasi muda.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, Dato’ Nazli Rasyid Sulong berkata, jenayah termasuk rasuah tidak akan pernah lenyap selagi manusia masih mempunyai ruang untuk melakukan salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Integriti: Mendepani Cabaran Dalam Memperkukuh Integriti di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Menurutnya, cabaran utama yang dihadapi IPT ketika ini ialah usaha membudayakan integriti dalam kalangan pelajar, di samping mencegah perlakuan rasuah membabitkan pentadbir, pegawai dan kakitangan universiti.
Katanya, SPRM memberi penekanan kepada pembentukan generasi muda yang mempunyai pendinding integriti agar mampu membezakan antara perkara baik dan buruk selain memahami konflik kepentingan antara organisasi dan kepentingan peribadi.
“Dapatan kajian SPRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002 mendapati kira-kira 30 peratus pelajar sanggup melakukan rasuah.

“Susulan itu, SPRM melaksanakan pelbagai inisiatif bersama IPT awam dan swasta termasuk penubuhan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR), Wira Anti Rasuah (WAR), Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) serta Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR),” katanya.
Beliau berkata, pendekatan pencegahan rasuah kini memberi fokus kepada pemeliharaan dan pembudayaan integriti melalui penguatkuasaan serta langkah pencegahan yang lebih proaktif.
Sementara itu, Ketua Unit Integriti UUM, Dr. Mukhriz Mat Rus berkata, setiap aduan yang diterima perlu diteliti secara menyeluruh kerana tidak semua maklumat yang diperoleh menggambarkan keadaan sebenar.
Menurutnya, kes rasuah sukar dibuktikan kerana memerlukan kerjasama pemberi dan penerima rasuah untuk tampil memberikan keterangan, selain wujud kekangan apabila tidak semua pihak berani membawa aduan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, setiap organisasi perlu mempunyai pelan anti rasuah yang jelas termasuk mengenal pasti risiko serta tindakan strategik yang perlu diambil bagi memperkukuhkan tadbir urus.
Program yang dikendalikan Pengarah ARICG, Prof. Dr. Nor Afza Amran itu turut dihadiri Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama pegawai kanan universiti.
Bicara tersebut diakhiri dengan perkongsian mengenai ikrar bebas rasuah yang menekankan lima prinsip utama iaitu mematuhi undang-undang, menolak rasuah, memastikan diri dan kakitangan tidak terlibat dengan rasuah serta melaporkan sebarang salah laku kepada SPRM.



