Campus

Kerjasama rentas benua, SCIMPA dan CUS meterai LoI strategik

Gambar WBL SCIMPA

SINTOK, 1 April 2026: Majlis Simbolik Menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara Communication University of Shanxi (CUS), China dan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Kreatif, SCIMPA, semalam.

Majlis tersebut diadakan secara maya menggunakan aplikasi VooV Meetings yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat serta barisan ahli pengurusan SCIMPA.

Delegasi Communication University of Shanxi (CUS) diketuai oleh Timbalan Setiausaha Parti dan Naib Pengetua, Zhou Jianxin dan Ketua Pertukaran Antarabangsa dan Kerjasama, Yang Zhi-peng serta dua pegawai dari jabatan yang sama iaitu Song Jian dan Wang Yanhua.

Majlis simbolik ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama akademik antara Malaysia dan China, khususnya antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Communication University of Shanxi (CUS).

Dr. Mohd Azizuddin berkata, melalui LoI yang dimeterai, kedua-dua institusi bersetuju untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama.

Antara skop kerjasama yang telah dikenal pasti termasuklah pertukaran pelajar dan staf akademik, pelaksanaan program akademik bersama, penyelidikan dan pembangunan secara kolaboratif, penganjuran bengkel serta latihan bersama, selain pelaksanaan program pendidikan kerjasama Sino-asing.

Di samping itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama lain dalam bidang akademik yang akan dipersetujui dari semasa ke semasa.

Majlis ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperkukuhkan jaringan antarabangsa, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, inovasi dan mobiliti global dalam bidang industri kreatif dan seni persembahan. – M Shahadat Ali Nordin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button