KWSP perkasa kesedaran celik dan pengurusan kewangan generasi muda
Gambar Zamalik Hassan
SINTOK, 23 April 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Ceramah Celik dan Pengurusan Kewangan sempena program SQS Quantifest 2026 di Dewan Seminar SQS.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Relationship Advisor Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Alor Setar, Noorfazira Ahmad Tarmizi di mana beliau menekankan kepentingan simpanan dan amalan pengurusan kewangan secara berhemah bagi memastikan manfaat kewangan yang lebih baik untuk masa hadapan bagi kalangan pelajar universiti dan golongan belia.

Noorfazira berkongsi statistik peningkatan kes muflis dalam kalangan belia berumur 34 tahun ke bawah merupakan satu perkembangan yang membimbangkan dengan pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai antara faktor utama.
Beliau turut menjelaskan bahawa generasi masa kini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada anak-anak sebagai sumber kewangan pada hari tua berikutan perubahan landskap ekonomi semasa.
Selain itu, Noorfazira turut menceritakan perbandingan antara jutawan celik kewangan yang kekal kaya dalam jangka panjang dengan ”jutawan segera” yang hanya bertahan beberapa tahun.
Trend pembelian dalam talian juga disentuh, dengan pendekatan “add to cart” selama tujuh (7) hari dicadangkan sebagai cara untuk membantu pelajar berfikir secara lebih rasional sebelum membuat pembelian.

“Pelajar amat digalakkan untuk memulakan simpanan seawal mungkin melalui KWSP serta mengekalkan disiplin kewangan sehingga mencapai umur persaraan.
“Pembukaan akaun KWSP boleh dilakukan seawal usia 14 tahun, manakala golongan yang baru bekerja disarankan memulakan caruman sebaik menerima gaji pertama bagi memastikan pertambahan simpanan yang lebih signifikan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa KWSP berperanan sebagai platform simpanan jangka panjang yang bukan sahaja membantu meningkatkan jumlah simpanan, malah menawarkan pulangan melalui dividen yang stabil.
Selain itu, kemudahan aplikasi KWSP i-Akaun memudahkan ahli menyemak baki simpanan, memantau caruman bulanan majikan serta memuat turun penyata tahunan secara dalam talian melalui telefon bimbit. Aplikasi ini juga membolehkan pengguna membuat permohonan pengeluaran, menambah simpanan secara sukarela dan mengurus pelaburan.

Skim i-Saraan yang diperkenalkan merupakan inisiatif yang sesuai untuk golongan tanpa pendapatan tetap dan juga termasuk pelajar. Skim ini menawarkan pelbagai manfaat seperti insentif khas kerajaan sehingga RM500, dividen tahunan serta khairat kematian sebanyak RM2,500.
Ceramah tersebut diakhiri dengan aktiviti interaktif melalui kuiz Kahoot yang berjaya menarik penyertaan aktif dalam kalangan pelajar dan tiga pelajar yang memperoleh markah tertinggi telah menerima hadiah hamper.
Penganjuran ceramah ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran pelajar dalam mengurus kewangan secara berkesan serta membina simpanan mampan sebagai persediaan persaraan, di samping menggalakkan mereka menetapkan matlamat untuk menjadi jutawan semasa bersara. – Azatuliffah Alwi



