Campus

Naib Canselor perkukuh hubungan bersama pensyarah SEFB, TISSA dan IBS

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 1 April 2026: Sesi pertemuan Naib Canselor bersama pensyarah daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah diadakan di Dewan Seminar UUM CAS, semalam.

Program ini bertujuan mendapatkan perkongsian pandangan serta memperjelas hala tuju dalam usaha memperkasakan kecemerlangan akademik dan institusi.

Selain itu, sesi ini menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pengurusan universiti dan pensyarah, di samping membuka ruang perbincangan secara lebih terbuka.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, menyatakan bahawa TISSA berjaya melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan semasa.

Beliau turut menekankan sumbangan SEFB dan IBS terhadap pencapaian universiti, termasuk kejayaan IBS yang tersenarai dalam program antarabangsa terbaik dunia.

“Pertemuan ini memberi peluang kepada pihak pengurusan untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah, sekali gus memperkukuhkan kerjasama antara pusat pengajian dan pengurusan universiti. Ia juga menjadi saluran kepada pensyarah untuk menyuarakan cadangan serta maklum balas,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak agar terus memberikan komitmen terbaik dalam memastikan kualiti program akademik sentiasa terpelihara, di samping melahirkan graduan yang memenuhi standard antarabangsa.

Sesi ini juga berperanan sebagai medium untuk mempertingkatkan komunikasi dan kerjasama berterusan antara pengurusan universiti dan fakulti. – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih dari Politeknik METrO, Tasek Gelugor)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button