Campus

Perkasakan agenda kebolehpasaran graduan

SINTOK, 9 Januari 2025: Seminar CPD Kursus Asas Pengurusan Harta Tanah (Pengurusan Strata) telah berlangsung di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia, baru-baru ini.

Penganjuran majlis ini merupakan hasil kerjasama strategik yang termeterai antara Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) dan Malaysian Institute of Property and Facility Managers (MIPFM). Program anjuran SOG UUM-MIPFM yang julung kalinya diadakan ini  berjaya menarik minat beberapa pihak (Pusat Zakat dan Wakaf UUM, Bank Muamalat dan Wakaf An-Nur) untuk menaja penyertaan kursus bagi membiayai 60   mahasiswa tahun akhir UUM dari pelbagai pusat pengajian.

Program pensijilan profesional yang diiktiraf oleh MIPFM dan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah (LPPEH) ini bertujuan untuk mempersiapkan mahasiswa dengan memberi nilai tambah dalam Curriculum Vitae (CV) mereka agar lebih berdaya saing dalam melangkah ke alam kerjaya kelak.

Empat penceramah terlibat sepanjang kursus dua hari yang terdiri daripada pakar industri harta tanah iaitu PM gr. Sr. Ishak Ismail (Presiden MIPFM), PMgr. Sr. Matthias Loui (Ahli Majlis Tertinggi MIPFM) dan PMgr. Sr. Che Adzhan Che Adnan (Ahli Majlis Tertinggi MIPFM).

Bahkan, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid (Dekan SOG) yang juga merupakan Profesor Madya dari Jabatan Perancangan dan Pembangunan Harta Tanah (JPPH), SOG turut berpengalaman luas dalam industri harta tanah sebelum beliau menceburi dunia akademik, telah diberi mandat sebagai salah seorang penceramah untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan strata.

Terdapat 11 slot bagi memberi kefahaman kepada para peserta tentang asas pengurusan harta tanah, terutamanya yang melibatkan bangunan berstrata.

Peserta turut didedahkan kepada aspek perundangan, kewangan, sumber manusia dan sistem pengurusan rekod dalam pengurusan strata, serta peranan Perbadanan Pengurusan (MC), Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan tanggungjawab MC atau Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Perasmian program ini disempurnakan oleh Naib Canselor, UUM Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program pensijilan profesional ini sebagai langkah strategik ke arah melahirkan graduan pilihan industri dalam memenuhi agenda kebolehpasaran graduan.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar memanfaatkan peluang yang diberikan melalui penyertaan program ini dan mempersiapkan diri dengan menambah pelbagai kemahiran serta kompetensi, khususnya yang diiktiraf oleh badan profesional, bagi memperkukuhkan profil kerjaya mereka.

Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOG, Sr. Dr. Farahiyah Fadzil berkata, sijil profesional yang diperoleh melalui program ini membuka lebih banyak peluang untuk mahasiswa menceburi dunia pekerjaan serta menjadi platform terbaik untuk membina jaringan industri bagi masa depan kerjaya yang lebih cemerlang.

SOG akan terus komited dalam memastikan mahasiswa sentiasa bersedia mendepani cabaran dunia kerjaya melalui penganjuran program-program yang memfokuskan kepada pemantapan kemahiran dan kompetensi mahasiswa ke arah melahirkan graduan yang mampu bersaing dalam era Revolusi Industri 4.0, menjadi pilihan utama majikan, serta memenuhi keperluan industri yang berkembang dengan pantas.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button