Perkongsian strategi terbaik untuk pencapaian pelan strategik IBS 2025
Gambar Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani
SINTOK, 10 Mac 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah mengadakan Bengkel Penetapan Strategi Terbaik bagi Pencapaian Pelan Strategik IBS bagi tahun 2025 pada 18 Februari lalu di EDC UUM.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor berkata, bengkel ini bertujuan untuk menetapkan strategi terbaik bagi pencapaian KPI IBS bagi tahun 2025 melalui peranan 17 jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah IBS.
Menurutnya, walaupun pencapaian KPI pada tahun 2024, IBS tersenarai dalam kedudukan lima pusat pengajian terbaik, terdapat beberapa petunjuk prestasi yang masih boleh diperbaiki terutamanya berkaitan penerbitan dan penyelidikan.
IBS turut menjemput Prof. Dr. Sany Sanuri Mokhtar, Profesor dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) untuk memberi taklimat dan tips berguna bukan sahaja untuk memenuhi kriteria dalam pencapaian pelan strategik IBS bagi tahun 2025, tetapi untuk menjadi sebuat pusat rujukan perniagaan Islam yang dikenali.
Menurutnya, IBS perlu mencari identiti yang kukuh supaya dikenali bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat global.
“IBS perlu mengetengahkan keunikan dan kepakaran tersendiri yang dimiliki seperti pengurusan Halal, Fintech dalam Kewangan Islam dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut berkongsi elemen utama dalam memastikan IBS menjalinkan hubungan kukuh bersama pemegangtaruh berkaitan.
Bengkel ini telah dihadiri oleh semua barisan penjawat IBS dan pengerusi-pengerusi 17 jawatankuasa di IBS. Mereka ini dibahagikan dalam kumpulan mengikut teras dan perlu membuat pembentangan tentang cadangan strategi bagi memenuhi KPI yang ditentukan.
Semoga dengan penetapan strategi ini, Pencapaian Pelan Strategik IBS bagi tahun 2025 akan lebih cemerlang berbanding tahun 2024. – Siti Rasyidah Hassan