Takaful Ikhlas kongsi ilmu industri, perkenal inisiatif Ikhlas Padawan 2.0
Gambar oleh: Dr. Aidanajwa Sabri
SINTOK, 14 April 2026: Program ceramah kerjaya bersama Takaful Ikhlas telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan seramai 90 pelajar yang berminat untuk memahami dengan lebih mendalam tentang industri takaful serta peluang kerjaya yang ditawarkan dalam sektor tersebut.
Program ini menampilkan sesi perkongsian oleh Penolong Naib Presiden, Sham Irwan Isnin serta Pengurus Kanan Pembangunan Agensi, Muhammad Ikhwan Sayuthi yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dalam industri takaful.

Sesi tersebut memberi pendedahan berkaitan konsep asas takaful, perbezaannya dengan insurans konvensional, serta kepentingan perlindungan kewangan dalam kehidupan masa kini.
Para pelajar turut didedahkan dengan realiti kerjaya dalam bidang takaful, termasuk laluan kerjaya, kemahiran yang diperlukan serta potensi perkembangan dalam industri yang semakin berkembang pesat.
Perkongsian daripada kedua-dua panel juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka peluang kerjaya dalam sektor kewangan Islam.
Selain itu, sesi turut mengetengahkan inisiatif Ikhlas Padawan 2.0, sebuah program di bawah platform School of Hard Knocks (SoHK) yang bertujuan membentuk bakat muda melalui latihan praktikal dan pendedahan industri sebenar.
Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk membina kemahiran insaniah, meningkatkan keyakinan diri serta mempersiapkan diri ke alam pekerjaan dengan lebih bersedia.

Menurut Dr. Aidanajwa Sabri, selaku Penyelaras SoHK, program seperti ini amat penting dalam membantu pelajar memahami keperluan industri serta meningkatkan kesiapsiagaan mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif seperti Ikhlas Padawan 2.0 mampu menjadi platform terbaik untuk pelajar membina keyakinan diri dan kemahiran yang relevan dengan kehendak pasaran semasa.
Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), selaras dengan usaha universiti dalam memperkukuhkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama strategik bersama pihak industri.
Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak manfaat kepada pelajar dalam merancang hala tuju kerjaya mereka. – Anis Zulaikha Kamal



