Pupuk kebersamaan, disiplin dan daya saing jadi fokus Kursus Mini Pengurusan Operasi JKPS INASIS Sime Darby
Gambar Nur Ain Shazwanie Mohammad Azhar
SINTOK, 8 Disember 2024: Inapan Siswa (INASIS) Sime Darby menganjurkan Kursus Mini Pengurusan Operasi (KPO) sesi 2024/2025 di EDC UUM bagi memperkasakan kemahiran Ahli Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS).
Pengetua INASIS Sime Darby, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, pada sesi 2024/2025 ini, beliau ingin melahirkan Ahli JKPS yang memupuk semangat kebersamaan, berdisiplin, dan berdaya saing dalam melaksanakan tugas mereka.
Seiring dengan hasrat tersebut, kursus ini memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pengurusan dan pentadbiran bagi memastikan kelancaran operasi INASIS Sime Darby. Pengisian kursus melibatkan latihan praktikal dan sesi perkongsian ilmu bagi memperkukuh kefahaman peserta tentang pengurusan program dan dokumentasi rasmi.
Antara sesi yang dijalankan termasuk taklimat oleh Penolong Pegawai Tadbir, Pusat Pengajian Undang-Undang, Nor Jannah Nassaruddin yang memberi panduan tentang proses mengisi butiran program ke dalam Sistem Students Affairs Management System (SAMS), diikuti perkongsian oleh Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Dr. Azahar Kasim yang berkongsi panduan profesional tentang penulisan berita. Perkongsian ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik menghasilkan laporan berita yang tepat dan berkualiti untuk dokumentasi rasmi.
Selain itu, Penolong Pengurus Asrama Kanan INASIS Sime Darby, Zaleha Kob pula menumpukan pada aspek pentadbiran dan pengurusan kebersihan blok di INASIS Sime Darby, manakala Felo INASIS Sime Darby, Monalis Mohd Yusofn memberikan taklimat mengenai format surat-menyurat, surat tuntutan bayaran, surat tajaan dan surat kelulusan peruntukan.
Selain itu, Pembantu Tadbir INASIS Sime Darby, Haslinda Musa menerangkan proses membuat tuntutan bayaran dengan lebih teliti, supaya dapat memastikan setiap tuntutan kewangan diproses dengan lancar.
Pengarah program, Wadiah Syamimi Abdul Wahab berkata, Mini KPO ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kecekapan ahli JKPS dalam melaksanakan tugas pentadbiran dan pengurusan operasi dengan lebih profesional.
“Kami berharap semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam tugas harian mereka,” katanya.
Salah seorang peserta, Ku Nur Iffah Ku Hashiam berkata, dia telah menerima banyak input berguna, terutamanya tentang cara menggunakan SAMS dan menghasilkan surat rasmi dengan format yang betul.
Menurutnya, kursus ini sangat membantu untuk lebih yakin dalam melaksanakan tugas sebagai JKPS.
Dengan pengisian menyeluruh ini, kursus KPO berjaya memberikan asas kukuh kepada ahli JKPS untuk melaksanakan tugas mereka dengan lebih cekap dan profesional, selaras dengan visi yang diketengahkan oleh Pengetua INASIS Sime Darby. – Nur Auni Fadhlina Mohamad Amin Fansuri