Staf JHEP diberi penekanan kuasai teknologi kecerdasan buatan (AI)
Gambar Unit Latihan dan Komunikasi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar
SINTOK, 16 Mac 2025: Revolusi teknologi kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah landskap kerja di seluruh dunia, dan Malaysia tidak ketinggalan dalam proses transformasi ini termasuk sektor awam.
AI dilihat berpotensi besar meningkatkan kecekapan perkhidmatan, menjimatkan kos dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Bagi menyokong usaha kerajaan dalam pelaksanaan transformasi digital, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program Pensijilan Microsoft AI – Microsoft AI for All pada 12 Mac lalu di Dewan Seminar Pusat Islam yang mendapat penglibatan daripada staf JHEP.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program ini adalah inisiatif kolaboratif antara Microsoft dan Pepperlabs yang bertujuan unutk membangunkan tenaga kerja mahir dalam bidang AI.
“Teknologi kercerdasan buatan (AI) telah menjadi sebahagian penting dalam pelbagai bidang termasuk bidang pentadbiran.
“Diharap dengan program seperti ini dapat membantu staf HEP memperolehi kemahiran AI yang relevan dengan keperluan semasa dan masa depan,” katanya.
Program ini menampilkan tenaga pengajar iaitu Accredited Trainer, UUM Leads, Andy Bachtiar Ibrahim.
Dalam program itu, peserta diberi pendedahan tentang kegunaan aplikasi AI seperti ChatGPT dan Copilot Microsoft Edge yang dapat membantu dalam proses kerja yang lebih efisien dan efektif. – Anis Zulaikha Kamal